
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu di lobi Parlimen di sini hari ini.
Anwar berkata, pasport tersebut dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan yang memenuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat serta terus diyakini di peringkat antarabangsa.
“Usai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, saya langsung ke lobi Parlimen dan meluncurkan PMA baharu yang akan mula berkuat kuasa esok.
“Pembaharuan ini adalah sebahagian daripada ikhtiar berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh reformasi perkhidmatan awam serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” kata menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Di samping itu, menurut Anwar, pasport baharu itu turut memperkukuh keyakinan dunia terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang cekap, progresif dan berwibawa.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas kini mempunyai pilihan untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau sehingga 10 tahun, mengikut keperluan masing-masing.
“Ini pastinya memberi lebih kemudahan kepada rakyat, khususnya mereka yang kerap ke luar negara atas urusan kerja, perniagaan, pengajian mahupun bersama keluarga,” katanya.
Jelasnya, kadar bayaran bagi pasport 10 tahun ditetapkan pada RM350. Berbanding pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dibuat dua kali dalam tempoh yang sama, rakyat menikmati penjimatan sebanyak RM50.
“Dari aspek keselamatan pula, PMA baharu ini tampil dengan 94 ciri keselamatan berbanding hanya 49 sebelum ini.
“Pelbagai teknologi keselamatan terkini seperti hologram, cetakan ultraviolet (UV), latent image dan beberapa elemen perlindungan lain diterapkan bagi mengurangkan risiko pemalsuan, pengubahsuaian serta penyalahgunaan dokumen perjalanan negara,” ujarnya.
Menurut baliau, pasport baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara bermula Julai ini.
“Namun, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada kerana ia masih sah digunakan sehingga hampir tamat tempohnya.
Semoga inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengukuhkan lagi kedudukan Pasport Malaysia sebagai antara dokumen perjalanan yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.






