
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti menerusi pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy 2024-2034 sebagai hala tuju strategik negeri bagi tempoh sedekad dalam melindungi, memulihara serta memanfaatkan sumber biodiversiti secara lestari.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Ahamed Sade berkata, strategi berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan biodiversiti Sabah dilaksanakan secara terancang, berasaskan sains serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Pendekatan berasaskan bukti (evidence-based), kerjasama menyeluruh dan konsep whole-of-societymenjadi tunjang utama strategi tersebut bagi memastikan tindakan pemuliharaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Strategi ini menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan tindakan pemuliharaan yang berkesan, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan mampan negeri menerusi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya pada program Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Selasa.

Menurut Ahamed, langkah yang diambil Sabah turut menyumbang kepada agenda biodiversiti global termasuk Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Convention on Biological Diversity (CBD) serta Sustainable Development Goals (SDGs).
“Tema sambutan tahun ini iaitu Acting Locally for Global Impact amat bertepatan dengan peranan Sabah sebagai antara kawasan paling penting dari segi biodiversiti dunia, apabila tindakan pemuliharaan di peringkat negeri mampu memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem global.
“Tahniah Pusat Biodiversiti Sabah di atas kejayaan membangunkan dua sistem strategik iaitu Sabah Biodiversity Access and Export Licence Application System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS).
“Pembangunan kedua-dua sistem digital ini bukan sekadar platform teknologi, sebaliknya merupakan transformasi penting dalam memperkukuh tadbir urus biodiversiti Sabah yang lebih moden, telus dan berasaskan data,” jelasnya.
Tambahnya, SaBAES akan berperanan memperkemaskan proses permohonan, pengurusan serta perkongsian maklumat berkaitan lesen akses dan lesen eksport sumber biologi negeri Sabah.
“Melalui sistem ini, proses permohonan akan menjadi lebih cekap, telus dan mudah diakses, di samping memperkukuhkan pematuhan terhadap perundangan negeri berkaitan akses kepada sumber biologi serta perkongsian faedah,” katanya.

Sementara itu, SaTKIS merupakan inisiatif penting dalam melindungi pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi yang dimiliki oleh anak negeri dan komuniti tempatan Sabah daripada risiko kehilangan, penyalahgunaan serta eksploitasi.
“Pengetahuan tradisi merupakan khazanah intelektual yang tidak ternilai dan perlu didokumentasikan secara sistematik supaya manfaat daripada penggunaannya dapat dikongsi secara adil dan saksama.
“Pendekatan tersebut selaras dengan prinsip Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) yang mengiktiraf hak komuniti tempatan sebagai pemilik pengetahuan tradisi serta rakan strategik dalam pengurusan sumber biologi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmed menyeru semua pihak termasuk kerajaan, komuniti, sektor swasta, institusi penyelidikan dan masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing dalam melindungi kekayaan biodiversiti Sabah.
“Tindakan yang kita ambil hari ini akan menentukan masa depan biodiversiti Sabah.
“Setiap usaha di peringkat lokal mampu menghasilkan impak besar di peringkat global demi kesejahteraan rakyat, kemakmuran negeri dan warisan generasi akan datang,” katanya.




