
SHAH ALAM – Hampir 4,500 jemaah haji dari 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor telah mengemukakan permohonan bagi Insentif Haji Muassasah setakat ini, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9 juta.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, dana berkenaan disalurkan secara bersama oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Kerajaan Negeri, masing-masing menyumbang RM4.5 juta bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Dana keseluruhan ini berjumlah RM9 juta di mana RM4.5 juta daripada MBI dan RM4.5 juta lagi daripada Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah MBI-DUN Kota Anggerik 2026, semalam.

Ahmad Azri turut menggesa bakal penerima yang masih belum mengemukakan permohonan supaya berbuat demikian sebelum tarikh tutup pada 15 Julai ini.
“Jemaah yang masih berada di Tanah Suci ataupun yang baru balik dan mungkin tidak mengetahui mengenai program ini masih mempunyai masa untuk membuat permohonan,” katanya.
Sebelum itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah akan menerima insentif sebanyak RM1,500 seorang menerusi pelaksanaan Program Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M.
Kadar itu meningkat berbanding RM1,000 sebelum ini sebagai usaha meringankan beban kewangan bakal jemaah menunaikan ibadah haji.




