JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan melangkaui ritual demokrasi biasa yang menjadi medan eksperimen nasional dalam menguji ketahanan naratif setiap blok politik sebelum melangkah ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Mujibu Abd Muis berkata, pasca PRU15 yang merombak habis-habisan naratif politik konvensional, landskap polarisasi di Malaysia kini bergerak dalam acuan yang cukup asing.
Menurut beliau, kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat melahirkan dinamika lokaliti rumit sehingga memaksa Johor yang selama ini megah sebagai lambang kestabilan perlu menyesuaikan diri dengan realiti baharu.
“Sebagai penyandang yang menang besar pada edisi 2022, BN memikul beban berat. Fokus mereka bukan sekadar mahu kembali berkuasa, tetapi bagaimana untuk mengekalkan dominasi mutlak tanpa memperlihatkan sebarang kerapuhan.
“Di bawah pentadbiran Menteri Besar hari ini, naratif lonjakan ekonomi negeri serta impak projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijadikan peluru utama untuk memikat pengundi bandar dan kelompok korporat.
“Namun, jalan untuk UMNO mengekalkan status quo ini masih penuh ranjau. Pergolakan dalaman berhubung pemilihan calon yang dilaporkan berlarutan hingga saat-saat akhir mendedahkan wujudnya kelonggaran koordinasi antara pucuk pimpinan dengan akar umbi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, kejayaan Pakatan Harapan (PH) banyak bergantung kepada keupayaan mengekalkan sokongan pengundi kelas pertengahan, golongan muda serta memastikan kerjasama parti komponennya berjalan lancar sepanjang kempen.
“Bagi PH pula, pendekatan di selatan kali ini tampak lebih berpijak di bumi nyata. Menyedari batasan semasa, mereka tidak lagi meletakkan sasaran melangit untuk menguasai kerajaan negeri sendirian. Strategi defensif menjadi pilihan. Benteng di kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai demografi campuran mesti dipertahankan habis-habisan.
“Kawasan ikonik seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Skudai, dan Perling kekal menjadi sandaran utama bagi membuktikan identiti politik progresif mereka belum pudar. Kekuatan PH di koridor bandar ini amat bergantung kepada kesetiaan kelas menengah serta dinamisme pengundi muda.
“Namun, jentera parti komponen PH perlu bergerak seiring di lapangan tanpa dibayangi prejudis lama. Sama ada sokongan urban ini mampu diterjemahkan sebagai kubu kebal atau sebaliknya, bakal menentukan sejauh mana relevannya suara PH di Johor,” katanya.

Mengulas faktor yang bakal menentukan keputusan pilihan raya, beliau berkata, kredibiliti calon, peratusan keluar mengundi serta kehadiran parti kecil seperti Bersama dan Muda dijangka memberi kesan terhadap keputusan di beberapa kerusi.
“Keputusan yang bakal keluar nanti bukan sahaja mencorakkan masa depan Johor untuk lima tahun akan datang, malah menjadi kompas awal menunjukkan ke mana arah angin politik Malaysia dalam era pasca-Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 172 calon daripada pelbagai parti politik layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas proses penamaan calon selesai di 56 pusat penamaan calon hari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, 172 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding selepas tempoh penyerahan kertas penamaan ditutup pada jam 10 pagi, selain tiada pencalonan ditolak.
Pecahan calon mengikut parti menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, 33 calon Perikatan Nasional (PN), 15 calon daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (4), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang, manakala Bebas (6).
Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kerusi DUN menyaksikan pertembungan tiga penjuru; 14 kerusi satu lawan satu; 12 kerusi empat penjuru; serta tiga kerusi lima penjuru.
SPR menetapkan 7 Julai ini bagi tarikh pengundian awal manakala 11 Julai sebagai hari pengundian.
Sebanyak 2,727,926 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera bersama pasangan dan 12,710 anggota polis berserta pasangan.




