Kerajaan MADANI perkukuh mahkamah syariah tanpa bantahan menteri bukan Islam – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI tidak pernah berdepan bantahan daripada mana-mana anggota Jemaah Menteri, termasuk menteri bukan Islam, terhadap sebarang cadangan bagi memperkukuh kedudukan mahkamah syariah sepanjang lebih tiga tahun pentadbirannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan institusi mahkamah syariah di bawah pentadbiran kerajaan hari ini menunjukkan kemajuan yang lebih memberangsangkan berbanding beberapa dekad lalu, sekali gus menolak tanggapan bahawa kerajaan terikat atau dipengaruhi oleh tekanan pihak bukan Islam dalam isu berkaitan syariah.

“Itu tentunya tekad politik yang ada sepertimana saya jelaskan berdasarkan pengalaman saya sepanjang lebih tiga tahun menjadi Perdana Menteri.

“Dalam tempoh itu, belum ada satu pun usul termasuklah penambahan kedudukan mahkamah syariah, yang menjadi masalah, diungkit atau dibantah oleh mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Islam.

“Saya berasa bangga bawah pimpinan kerajaan sekarang, usaha hakim, peguam syarie dan pimpinan dalam Jemaah Menteri, hal sebegini tiada pun persoalan membantah,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia sebagai sokongan terhadap pembangunan profesion berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan terbuka dengan memberikan penjelasan secara rasional kepada masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mengenai cadangan berkaitan hukum Islam supaya mereka memahami tujuan dan ruang lingkup pelaksanaannya.

“Saya berusaha menerangkan dengan rasional. Saya rasa wajar semua berhak tahu masalah itu, termasuk cadangan hukum Islam.

“Apa masalah orang bukan Islam tahu? Ada pandangan: ‘Oh, tidak boleh kerana PMX (Perdana Menteri) takut ke apa… ini soal Islam, (jika) orang Islam tak boleh bincang’. Saya tidak setuju.

“Keputusan orang Islam tetapi sebagai warganegara, dia (orang bukan Islam) tahu dalam pembahagian kuasa apa yang hendak dipinda, apa yang hendak diperkenalkan, dia nak tahu apakah ia menyentuh kedudukan dia. Bagi saya, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, usaha penambahbaikan sesuatu dasar akan lebih mudah dilaksanakan apabila semua pihak memahami rasional dan matlamat yang ingin dicapai, tanpa menimbulkan salah faham terhadap kedudukan agama Islam dalam sistem negara.

Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI komited mempertahankan kepentingan orang Melayu, termasuk menerusi pewartaan kira-kira 20 hektar tanah sebagai Tanah Rizab Melayu di kawasan pembangunan Bandar Malaysia, yang disifatkannya sebagai langkah bersejarah.

“Sejak 1997, tidak pernah ada mana-mana kerajaan di Malaysia yang memutuskan untuk mewujudkan kawasan di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Saya hendak memperuntukkan 50 ekar sebagai Tanah Rizab Melayu… 50 ekar itu sama dengan 5,000 ekar di Kedah atau Kelantan dari segi nilainya.

“Saya tahu ini kontroversi kalau tidak diuruskan dengan baik. Saya panggil beberapa pimpinan termasuk menteri bukan Islam, saya beritahu alasan bahawa 50 ekar ini bukan saya rampas tanah yang bukan Melayu… ini tanah yang sudah menjadi milik kerajaan,” katanya.

Related Posts

Plan Tindakan Malaysia Digital 2030 tingkat kesiapsiagaan Malaysia hadapi era AI – PM

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) menjadi asas baharu kerajaan dalam mempercepat transformasi digital negara serta memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia menghadapi perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos bagi PRN Johor

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada pengundi yang layak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Plan Tindakan Malaysia Digital 2030 tingkat kesiapsiagaan Malaysia hadapi era AI – PM

Plan Tindakan Malaysia Digital 2030 tingkat kesiapsiagaan Malaysia hadapi era AI – PM

Internet lemah di lima lokasi Kukup, Cheah Chee Hong desak tindakan segera demi rakyat

Internet lemah di lima lokasi Kukup, Cheah Chee Hong desak tindakan segera demi rakyat

Polis Perlis tahan 11 tekong, 33 PATI dalam tempoh dua bulan

Polis Perlis tahan 11 tekong, 33 PATI dalam tempoh dua bulan

‘Blackout’ jejas pendapatan, operasi harian peniaga kecil

‘Blackout’ jejas pendapatan, operasi harian peniaga kecil

SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos bagi PRN Johor

SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos bagi PRN Johor

Penurunan harga minyak dunia perlu diterjemahkan kepada harga barangan lebih rendah

Penurunan harga minyak dunia perlu diterjemahkan kepada harga barangan lebih rendah