eKYC, algoritma platform digital perlu diperkasa lindungi kanak-kanak – Pakar

PELAKSANAAN sistem pengesahan identiti elektronik (eKYC) yang lebih ketat serta penambahbaikan algoritma oleh penyedia platform digital menjadi elemen penting bagi memastikan Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) benar-benar berkesan melindungi pengguna bawah umur.

Profesor di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, mekanisme itu bukan sahaja mampu menghalang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial, malah mengurangkan risiko mereka terdedah kepada kandungan berbahaya, buli siber dan eksploitasi dalam talian.

“Sebab itu saya sokong dasar undang-undang baharu ini kerana ia memberi kuasa kepada penyedia platform media sosial untuk memastikan kanak-kanak benar-benar berusia lebih 16 tahun dan mempunyai bukti pengenalan diri.

“Jika bawah 16 tahun, mereka memang tidak boleh berdaftar,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan sistem eKYC masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu ditangani, termasuk kemungkinan kanak-kanak menggunakan identiti atau akaun milik ahli keluarga untuk melepasi proses pengesahan.

“Cuma dari segi pelaksanaan, pasti ada kelompangan kerana mereka boleh menggunakan kad pengenalan kakak, akaun abang ataupun ibu bapa menyediakan maklumat mereka untuk digunakan oleh anak-anak,” katanya.

Mohammad Aziz Shah berkata, pemantauan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sistem itu disalahgunakan, terutama membabitkan kanak-kanak yang sudah mempunyai pengaruh besar di media sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, algoritma platform media sosial turut memainkan peranan penting dalam membentuk corak penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Katanya, algoritma sedia ada cenderung memaparkan kandungan yang sama berdasarkan minat pengguna sehingga mendorong mereka terus melayari media sosial dan akhirnya menjadi ketagih.

“Dalam algoritma media sosial, jika kita menekan ‘like’ atau menonton sesuatu kandungan lebih lama, algoritma akan memaparkan kandungan lain yang hampir serupa supaya kita terus fokus dan akhirnya menjadi leka,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Aziz Shah mencadangkan kerajaan menetapkan syarat kepada penyedia platform digital supaya algoritma mereka tidak hanya mempromosikan kandungan hiburan, sebaliknya turut memaparkan kandungan yang menyokong pembangunan sahsiah dan kesejahteraan mental pengguna.

“Sebab itu antara syarat yang boleh dikenakan kepada penyedia platform media sosial ialah memperbanyakkan kandungan berkaitan pengetahuan, kemahiran daya tindak (coping skill) dan kesedaran supaya wujud keseimbangan.

“Contohnya, jika pengguna menonton kandungan hiburan, algoritma juga perlu memaparkan kandungan berkaitan kesihatan mental, penjagaan diri, pembelajaran dan pembinaan keperibadian supaya seimbang antara hiburan dengan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab melindungi kanak-kanak di ruang digital tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa kerana mereka tidak mampu memantau penggunaan media sosial anak-anak sepanjang masa.

Sebaliknya, katanya, syarikat teknologi perlu memainkan peranan lebih besar melalui sistem pemantauan kandungan dan algoritma yang bertanggungjawab bagi memastikan kanak-kanak menerima pendedahan kepada kandungan yang sesuai dengan usia mereka.

“Mak ayah tetap perlu memantau, tetapi mereka tidak boleh berada di sisi anak-anak selama 24 jam ketika melayari media sosial.

“Sebab itu sistem pemantauan algoritma perlu disusun dan dipantau supaya kanak-kanak lebih terbimbing melihat kandungan ilmiah, hiburan dan kandungan yang dapat meningkatkan kesejahteraan emosi. Ia perlu seimbang,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan CPC perlu dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk membentuk generasi yang lebih berilmu, berdaya tahan dan mempunyai kesihatan mental yang baik.

Jelasnya, media sosial seharusnya menjadi medium yang membantu pembangunan sahsiah dan ilmu pengetahuan, bukannya platform yang mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang boleh menjejaskan perkembangan emosi, nilai dan masa depan mereka.

Pada Rabu, media melaporkan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, CPC memperuntukkan mekanisme pengesahan umur yang selamat, praktikal dan bertanggungjawab bagi memastikan hanya pengguna yang memenuhi syarat dibenarkan mengakses platform media sosial.

Beliau berkata, CPC bersama Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 Mei lalu, mula berkuat kuasa pada 1 Jun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Katanya, kedua-dua kod itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi, kandungan berbahaya dan ancaman lain di platform digital.

Related Posts

APM perhebat kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana, MADANI KITA perlu diperluas

PORT DICKSON – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus memperhebat usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana menerusi pelbagai pengetahuan latihan kepada penduduk yang berisiko menghadapi bencana dan terdedah kepada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH yakin bekas ahli PKR bertanding atas tiket Bersama tidak jejas sokongan pengundi

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) yakin tindakan beberapa bekas ahli PKR bertanding atas tiket Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan sokongan pengundi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

APM perhebat kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana, MADANI KITA perlu diperluas

APM perhebat kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana, MADANI KITA perlu diperluas

PH yakin bekas ahli PKR bertanding atas tiket Bersama tidak jejas sokongan pengundi

PH yakin bekas ahli PKR bertanding atas tiket Bersama tidak jejas sokongan pengundi

PRN Johor: Majoriti kerusi DUN saksikan pertandingan tiga penjuru, 14 kerusi BN-PH bertembung

PRN Johor: Majoriti kerusi DUN saksikan pertandingan tiga penjuru, 14 kerusi BN-PH bertembung

Kerajaan MADANI perkukuh mahkamah syariah tanpa bantahan menteri bukan Islam – PM

Kerajaan MADANI perkukuh mahkamah syariah tanpa bantahan menteri bukan Islam – PM

PH muktamad manifesto PRN Johor Isnin ini, tawar agenda realistik demi kepentingan rakyat

PH muktamad manifesto PRN Johor Isnin ini, tawar agenda realistik demi kepentingan rakyat

Kuota diesel Sabah perlu dinilai semula selaras keperluan industri pelancongan – Puspabumi

Kuota diesel Sabah perlu dinilai semula selaras keperluan industri pelancongan – Puspabumi