Inovasi AR guru Mukah raih empat anugerah antarabangsa

MUKAH – Inovasi pendidikan berasaskan teknologi Augmented Reality (AR) ciptaan seorang guru wanita dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak di sini melakar sejarah apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Projek ciptaan Stanzey Soojin itu mencuri tumpuan dunia selepas menyapu bersih empat pengiktirafan berprestij pada pertandingan Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, perrtandingan sengit itu melibatkan pelbagai negara dan institusi pendidikan global itu berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu dari 19 hingga 23 Jun lalu.

“Saya menzahirkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa itu yang disifatkan sebagai satu penanda aras baharu bagi kualiti pendidikan luar bandar.

“Kejayaan ini membuktikan kreativiti, komitmen dan penggunaan teknologi digital oleh guru di kawasan luar bandar mampu menghasilkan formula pendidikan berimpak tinggi yang setanding dengan projek bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pertandingan tersebut, projek inovasi digital berkenaan cemerlang membawa pulang Platinum Award, Best Sustainability Award, BIICC Excellence Award dan Gold Award.

Pengiktirafan Platinum Award meletakkan inovasi tersebut dalam kelompok projek terbaik secara keseluruhan, manakala Best Sustainability Award dianugerahkan atas sumbangan besarnya menyokong pendidikan lestari.

Mengulas lanjut, Royston menjelaskan bahawa inovasi terbabit dibangunkan bagi membantu murid memahami konsep-konsep sains yang abstrak dengan lebih mudah.

Menerusi gabungan teknologi AR, visual interaktif dan pembelajaran digital yang menarik, ia terbukti mampu meningkatkan minat murid secara mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat nama Mukah, Sarawak dan Malaysia di persada inovasi antarabangsa, malah menjadi inspirasi besar kepada seluruh warga pendidik serta generasi muda kita untuk terus maju,” ujar beliau.

Related Posts

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

ALOR SETAR – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencatat sejarah sebagai kerabat diraja pertama yang menjalani dan menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU),…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

LIMBANG – Masyarakat di kawasan perbatasan digesa untuk memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP