
TUARAN – Penduduk Kampung Raganan di sini gempar apabila seekor buaya muncul berhampiran sebuah rumah pada awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, reptilia dianggarkan sepanjang 3.5 meter berkenaan dilihat berada di kawasan hadapan rumah sambil membawa bangkai seekor anjing dan sebelum beredar meninggalkan kawasan perkampungan tersebut.
Sementara itu, Pejabat Hidupan Liar Pantai Barat ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press mengesahkan perkara berkenaan pada Khamis.
“Pada tarikh 24 Jun 2026, Pejabat Hidupan Liar Pantai Barat telah mendapat maklumat berkaitan kemunculan seekor buaya di kawasan sungai berhampiran Kampung Raganan, Timbok Tuaran melalui Facebook Sayang Sabah.
“Video tersebut telah viral dan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.
“Sehubungan itu, pemantauan awal telah dijalankan bagi menilai tahap risiko kepada keselamatan penduduk,” ujarnya.
Dalam pada itu, pejabat tersebut turut menasihat orang ramai supaya meningkatkan tahap berjaga-jaga dan mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan sungai buat sementara waktu.
Katanya, kakitangan Pejabat Hidupan Liar akan menjalankan pemantauan berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk kampung sentiasa terjamin.



