Parlimen bakal main peranan lebih besar, semak calon Pendakwa Raya melalui JKPKP

KUALA LUMPUR – Parlimen dijangka memainkan peranan lebih besar dalam sistem perundangan negara menerusi cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPKP) bagi meneliti dan mengemukakan syor terhadap calon Pendakwa Raya sebelum pelantikan dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu merupakan antara hasil penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (JKPK).

Beliau berkata, langkah berkenaan bakal mencatat sejarah baharu apabila Parlimen diberi ruang untuk terlibat secara langsung dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

“JKPK juga bersetuju bahawa setelah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) mengenai senarai calon Pendakwa Raya, JKPKP yang ditubuhkan akan memberikan ulasan meliputi penilaian dan syor sama ada untuk mengesyorkan atau tidak terhadap mana-mana calon dikemukakan.

“Sebarang isu berkaitan kerahsiaan calon akan diputuskan JKPKP berdasarkan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, pembaharuan itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan prinsip semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

Menurut beliau, penglibatan Parlimen dalam proses berkenaan akan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak yang membuat pelantikan berdasarkan nasihat yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, Parlimen akan menetapkan tatacara pelaksanaan peranannya dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan prosedurnya sendiri selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Perincian lanjut mengenai tatacara pelantikan termasuk cara pemakluman akan dibuat kepada Parlimen dan cara pemberian ulasan oleh Parlimen sebelum SPKP memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong akan diperuntukkan melalui undang-undang Persekutuan.

“Dari segi pelaksanaannya, mekanisme pembabitan Parlimen akan digerakkan melalui penubuhan JKPKP di bawah Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meneliti senarai calon Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata, usaha memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi institusi paling penting yang sedang dilaksanakan kerajaan dan memerlukan penelitian menyeluruh.

Katanya, proses itu turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak menerusi JKPK yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi memastikan cadangan yang dikemukakan bersifat inklusif serta memenuhi keperluan sistem perundangan negara.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama menyokong usaha reformasi institusi ini.

“Reformasi ini bukan mengenai mana-mana pihak, tetapi mengenai kepentingan negara kita. Semoga usaha murni Kerajaan MADANI ini dapat memperkukuh institusi negara, menegakkan kedaulatan undang-undang dan memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu sebelum dirujuk kepada JKPK selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac untuk penelitian lanjut.

RUU berkenaan dijangka dibentangkan semula pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Related Posts

Pengamal media bantu polis tingkat kesedaran cegah jenayah

KANGAR – Peranan media bukan sekadar melaporkan kejadian jenayah malah menjadi medium penting membantu polis memberi kesedaran mengenai keselamatan kepada masyarakat. Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KPM bincang pelaksanaan polisi perlindungan murid bersama pemegang taruh

KETUA Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pendidikan (KPM) sudah diminta mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan tersebut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP