
MUKAH – Tindakan seorang pekerja asing mengamuk di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sebakong memakan diri apabila dia ditahan kerana menetak leher anggota polis bantuan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan selepas bertindak agresif menyerang mangsa kira-kira jam 4.40 petang.
“Kejadian bermula apabila mangsa dimaklumkan mengenai suspek yang sedang membuat bising di kawasan rumah pekerja sebelum (mangsa) bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, mangsa mendapati lelaki terbabit sedang memegang sebilah parang sebelum suspek secara tiba-tiba melibas senjata itu ke arahnya yang cuba mententeramkan keadaan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Jelas Muhamad Rizal, insiden itu mengakibatkan mangsa yang berusia 45 tahun mengalami luka parah di leher dan terpaksa menerima 12 jahitan.
Tambahnya, suspek berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja ladang yang lain di lokasi tersebut.
Menurut beliau, proses penahanan itu mencetuskan sedikit pergelutan sehingga menyebabkan warga asing berkenaan turut mengalami kecederaan.
“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut dan suspek diserahkan kepada polis selepas proses rawatan selesai.
“Siasatan awal mendapati punca utama suspek mengamuk adalah kerana berada di bawah pengaruh alkohol serta perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan polis turut merampas parang berukuran 53 sentimeter (sm) terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana semakan mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.






