KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pengambilan baharu membabitkan seramai 8,042 guru setakat 10 Jun lalu, bagi mengisi keperluan perjawatan dan opsyen mata pelajaran di sekolah kerajaan dari semasa ke semasa.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM juga akan menerima bekalan guru membabitkan seramai 5,845 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan yang akan bergraduasi pada bulan ini.
Berdasarkan perancangan KPM, beliau berkata, mereka dijangka akan ditempatkan di sekolah pada Ogos depan.
“Pengisian jawatan guru dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia, universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara berdasarkan unjuran tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah KPM.
“Graduan yang berjaya melepasi syarat lantikan, memenuhi kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga akan ditawarkan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru, termasuk punca dan pelan penyelesaian kepada masalah itu.
Menurut Fadhlina, antara penyelesaian dilakukan KPM bagi mengisi keperluan perjawatan guru di sekolah adalah melalui pengambilan sebanyak dua kali setahun.
Pendekatan seperti itu turut memberikan peluang kepada graduan pendidikan untuk dilantik sebagai guru KPM dalam tempoh singkat selepas bergraduasi.
“Selain itu, graduan pendidikan yang mendapat keputusan senat boleh membuat permohonan melalui portal mySPP yang dibuka sepanjang tahun.
“KPM akan terus komited dalam menambah baik proses pengisian jawatan guru baharu dengan mempertingkatkan sinergi dan bekerjasama rapat dengan SPP dan agensi pusat bagi memastikan isu kekurangan guru di seluruh negara dapat ditangani,” katanya.







