
KUCHING – Dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di Jalan Pending berjaya ditahan polis di sekitar Kampung Siol Kandis dan Kampung Pulo baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia 25 dan 33 tahun itu diberkas menerusi tangkapan berasingan pada Isnin serta Rabu.
Menurutnya, penahanan tersebut dibuat susulan laporan yang diterima pada 10.34 pagi Isnin berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis Honda di belakang Bangunan Rajah Cafe.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna merah hitam menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sebuah Yamaha Y15ZR berwarna merah.
“Polis juga berjaya merampas semula motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu malam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki beberapa rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah serta dadah.
Malah, katanya, hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan turut mengesahkan mereka positif dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



