KUALA LUMPUR – Penyedia platform media sosial yang gagal melaksanakan keperluan pengesahan umur pengguna mengikut Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) berdepan penalti kewangan sehingga RM10 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi kuasa untuk mengeluarkan notis ketidakpatuhan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan aplikasi yang tidak mematuhi tanggungjawab ditetapkan di bawah Bahagian III Akta 866.
“Penyedia perkhidmatan berlesen yang menerima notis berkenaan perlu menjelaskan penalti yang dikenakan atau mengemukakan representasi kepada MCMC bagi membolehkan semakan semula dibuat.
“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung mekanisme kerajaan dalam memastikan syarikat media sosial mematuhi syarat pengesahan umur pengguna serta tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang ingkar.
Fahmi berkata, MCMC mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penyedia perkhidmatan berlesen yang gagal memenuhi kewajipan di bawah akta tersebut.
Beliau berkata, Seksyen 30 Akta 866 turut memperuntukkan kuasa kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan bertulis kepada penyedia perkhidmatan berlesen bagi memastikan pematuhan terhadap mana-mana peruntukan akta itu.
“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu melalui pendekatan medan uji kaji kawal selia (regulatory sandbox) bagi membincangkan pelaksanaan sistem pengesahan umur pengguna.
Katanya, lebih 30 sesi perbincangan telah diadakan sama ada secara kolektif atau berasingan melibatkan platform media sosial yang terbabit.
“Setiap platform mempunyai cabarannya sendiri dan objektif perniagaan yang berbeza, namun kerajaan menetapkan keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia,” katanya.


