BALIK PULAU – Bekas kerani sebuah syarikat guaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian wang berjumlah RM33,827 antara 2020 hingga 2025.
Mazuin Marzuki, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan, wanita terbabit ketika itu bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman Tetuan Nor, Sarina & Co didakwa dengan curang melakukan pecah amanah terhadap harta yang diamanahkan kepadanya.
Tertuduh didakwa memasukkan wang berjumlah serendah RM1,000 hingga RM15,000 menerusi enam transaksi perbankan secara dalam talian ke akaun peribadi dan akaun suaminya dengan nilai keseluruhan RM33,827 untuk kegunaan peribadi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di firma guaman berkenaan yang terletak di Jalan Kolam Ikan, Bayan Lepas antara 4 September 2020 hingga 3 November 2025 antara jam 10.20 pagi hingga 3.50 pagi.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Jin Hong mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap Mazuin.
Namun, ibu kepada tiga anak itu merayu agar kadar itu dikurangkan kerana dia kini tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja dan ditanggung suami yang juga seorang penjawat awam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 selain menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.



