80 peratus kem pelarian Gaza diancam serangan tikus, sisa kumbahan limpah terbuka

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengeluarkan amaran bahawa hampir 1.7 juta pelarian Palestin, iaitu sekitar 80 peratus daripada keseluruhan populasi Gaza, terpaksa hidup dalam keadaan amat daif di hampir 1,600 tapak perlindungan ekoran krisis kritikal bekalan air, khemah, dan perkhidmatan asas.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, memetik data daripada Pejabat Penyelarasan Urusan Kemanusiaan (OCHA) yang mendedahkan bahawa operasi ketenteraan rejim merangkumi bedilan artileri, tembakan rambang, pengeboman, serta serangan udara dikesan masih terus mengancam keselamatan orang awam di seluruh Semenanjung Gaza, lapor Anadolu.

Beliau turut menarik perhatian mengenai pengumuman Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) yang mengesahkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, yang merupakan salah seorang daripada ‘Ikon Belia’ (Youth Champions) agensi itu, terkorban akibat serangan rejim ketika dalam perjalanan menduduki peperiksaan sekolah tinggi.

“Kami mengulangi pendirian tegas bahawa golongan awam, terutamanya kanak-kanak, mestilah diberikan perlindungan sepenuhnya pada setiap masa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York.

Mengulas mengenai laporan penilaian terbaharu di kem-kem pelarian, Dujarric memaklumkan sekurang-kurangnya 59,000 khemah perlindungan individu terpaksa menampung lebih lapan orang bagi setiap satu unit, manakala sekitar 38,500 penduduk dilaporkan terpaksa tidur di kawasan terbuka tanpa sebarang bumbung.

“Kira-kira 600,000 penduduk di tapak perlindungan yang dinilai juga dilaporkan terputus akses kepada bekalan air minuman yang bersih.

“Lebih memburukkan keadaan, separuh daripada kem pelarian terbabit tidak mempunyai sistem perparitan yang sempurna, manakala hampir separuh lagi berdepan dengan risiko ancaman kebakaran yang tinggi berhampiran khemah mereka,” jelas beliau.

Dujarric turut mendedahkan aspek sanitasi yang sangat kritikal apabila 80 peratus daripada tapak pelarian berkenaan kini direkodkan berdepan dengan ancaman serangan tikus, selain limpahan sisa kumbahan terbuka dan timbunan sampah sarap yang dikesan menjejaskan lebih separuh daripada kawasan kem terbabit.

“Di hampir 250 tapak pelarian yang menampung sekitar 250,000 penduduk, terdapat juga laporan mengenai insiden melibatkan letupan sisa bom atau peluru hidup,” katanya.

Sebagai rekod, meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, siri serangan tentera Israel dilaporkan tetap berterusan. Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan tindakan agresif rejim telah meragut sekurang-kurangnya 1,027 nyawa dan mencederakan 3,280 yang lain sejak tarikh berkenaan.

Gencatan senjata tersebut dicapai selepas Gaza berdepan kempen perang genosid oleh Israel selama dua tahun sejak Oktober 2023. Serangan berskala besar itu telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 yang lain, serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza, yang mana PBB menganggarkan kos pembangunan semulanya mencecah AS$70 bilion (RM309.4 bilion).

Related Posts

Malaysia gesa reformasi institusi kewangan antarabangsa, sistem perdagangan global

NEW YORK – Malaysia menggesa reformasi terhadap institusi kewangan antarabangsa dan sistem perdagangan multilateral supaya lebih berkesan dalam memenuhi keperluan negara membangun. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Proses bina semula Gaza perlu disegerakan

NEW YORK – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan dunia mesti segera memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan berterusan Israel. “Kita mesti memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan terpedaya akaun palsu tawar pendaftaran STR – Fahmi

Jangan terpedaya akaun palsu tawar pendaftaran STR – Fahmi

Gerakan Islam mesti berteraskan ilmu, akhlak – Anwar

Gerakan Islam mesti berteraskan ilmu, akhlak – Anwar

Polis giat kesan suspek ragut beg tangan wanita di Kampung Baru Semenyih

  • By Aden
  • September 27, 2026
Polis giat kesan suspek ragut beg tangan wanita di Kampung Baru Semenyih

England tewas tipis kepada Sepanyol

England tewas tipis kepada Sepanyol

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid