
KUALA LUMPUR – Wellspire Holdings Bhd memaklumkan pengerusi bebas bukan eksekutifnya, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah, bersara daripada lembaga pengarah syarikat.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pengedar makanan berbungkus pengguna itu memberitahu Tengku Abu Bakar, 41, melepaskan jawatan sebagai pengerusi berkuat kuasa serta-merta.
Tengku Abu Bakar berkhidmat sebagai pengerusi Wellspire sejak syarikat itu disenaraikan pada 16 Januari 2023.
Menurut laporan tahunan terkini Wellspire, Tengku Abu Bakar memegang jawatan sebagai pengerusi eksekutif Fomema Sdn Bhd sejak Julai 2016, dengan menyelia operasi penyedia perkhidmatan saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing itu.
Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Bookdoc Holding Bhd sejak Mac 2019.
Antara jawatan pengarah pernah disandang beliau sebelum ini termasuk sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Central Globah Bhd dan pengarah bukan eksekutif Datasonic Group Bhd yang kini dikenali NeXG Bhd.





