Kuasai AI bagi tangani jenayah siber tanpa sempadan – Ketua Polis P.Pinang

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), memperkukuh profesionalisme dan integriti pasukan bagi memastikan tahap keselamatan negeri terus berada pada tahap terbaik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pendekatan itu akan menjadi hala tuju pasukan polis negeri dalam mendepani cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks termasuk jenayah siber bersifat tanpa sempadan.

Menurutnya, perkembangan teknologi dan AI perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi keselamatan serta penguatkuasaan.

“Polis Pulau Pinang amat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk badan korporat yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan AI bagi membantu memperkukuh keupayaan pasukan.

“Kita perlu berubah mengikut peredaran zaman kerana pada masa depan, jenayah semakin tertumpu kepada ruang siber yang tidak mengenal sempadan,” katanya pada sesi pertemuan bersama pengamal media di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jalan Laha di sini hari ini.

Dennis merupakan Ketua Polis Pulau Pinang baharu bagi menggantikan Datuk Azizee Ismail yang bersara wajib pada Sabtu lalu.

Dennis yang berusia 57 tahun itu berasal dari Muar, Johor dan telah berkhidmat bersama PDRM selama 32 tahun.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sementara itu, Dennis menambah, selain teknologi, aspek profesionalisme dan integriti anggota polis turut menjadi keutamaan bagi memastikan setiap tugas dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Kita mahu setiap anggota melaksanakan tugas secara profesional dan berintegriti demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis,” ujarnya.

Dennis berkata lagi, polis akan terus memperkukuh kerjasama dengan masyarakat dan kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan keamanan di Pulau Pinang.

Jelasnya, keselamatan bukan hanya tanggungjawab polis semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak selaras dengan moto ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’.

“Kerjasama antara polis dan masyarakat di Pulau Pinang sangat baik. Ini antara faktor menyumbang kepada tahap keselamatan negeri yang antara terbaik di Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada masyarakat Pulau Pinang, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sentiasa selamat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga persekitaran bagi mencegah jenayah dengan merujuk kepada konsep Broken Window Theory yang menjelaskan bahawa kawasan terbiar dan tidak terurus berpotensi menjadi lokasi aktiviti jenayah.

Menurutnya, tindakan pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan terbiar, memotong rumput, membaiki bangunan rosak dan menyediakan pencahayaan yang mencukupi mampu mengurangkan risiko sesuatu kawasan menjadi lokasi jenayah atau ‘black spot’.

“Kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan panas jenayah dan mengambil langkah untuk menanganinya supaya kawasan tersebut kembali selamat serta menjadi tumpuan masyarakat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap anggota polis akan sentiasa bersedia membantu orang ramai yang berdepan kecemasan tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

“Sekiranya orang ramai datang ke balai polis untuk mendapatkan bantuan ketika berdepan kecemasan, anggota polis mesti membantu dan menerima laporan yang dibuat.

“Tiada alasan untuk menolak individu yang datang mendapatkan bantuan termasuk berdasarkan penampilan atau cara pemakaian mereka. Dalam keadaan kecemasan, keutamaan kita ialah membantu mereka terlebih dahulu,” katanya.

Dennis turut mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselamatan masyarakat selaras dengan peranan pasukan itu sebagai agensi yang bertanggungjawab melindungi orang awam.

Pada masa sama, beliau berharap hubungan baik antara Polis Pulau Pinang dan pengamal media dapat terus diperkukuh melalui saluran komunikasi yang berkesan bagi memastikan maklumat berkaitan keselamatan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih pantas serta tepat.

Related Posts

Terjejas projek pelebaran Jalan Utara, rumah SMJ jadi nafas baharu

TAWAU – Perasaan sedih bertukar gembira buat Ramlah Rahman, 43, apabila akhirnya dapat mendiami rumah baharu di bawah program Rumah Mesra SMJ selepas kediaman lamanya terlibat dalam projek pelebaran Jalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

GEORGE TOWN – Lima pekerja dikejarkan ke hospital selepas terdedah kepada tumpahan merkuri di sebuah pusat pengasingan barangan kurier di Jalan Terengganu di sini hari ini. Mangsa berusia lingkungan 20…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

TMJ anggap saya sahabat, jangan lagi tunggang institusi diraja – Anwar

TMJ anggap saya sahabat, jangan lagi tunggang institusi diraja – Anwar

Kuasai AI bagi tangani jenayah siber tanpa sempadan – Ketua Polis P.Pinang

Kuasai AI bagi tangani jenayah siber tanpa sempadan – Ketua Polis P.Pinang

Hubungan erat Kerajaan Persekutuan-Johor terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat

Hubungan erat Kerajaan Persekutuan-Johor terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat

Terjejas projek pelebaran Jalan Utara, rumah SMJ jadi nafas baharu

Terjejas projek pelebaran Jalan Utara, rumah SMJ jadi nafas baharu

Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri