
IPOH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, kembali menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas hampir enam tahun meninggalkan parti itu susulan kemelut politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Permohonan Hasnul untuk menyertai semula AMANAH yang dikemukakan sejak tahun lalu akhirnya diluluskan selepas mendapat persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat Pengurusan dan Pimpinan Nasional AMANAH pada 18 Jun lalu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi, ketika Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Tambun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Menurut Asmuni, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu tidak pernah meninggalkan AMANAH kerana dipecat atau disingkirkan, sebaliknya mengambil keputusan berkenaan berikutan perkembangan politik semasa selepas tumbangnya kerajaan PH.
“Permohonan beliau telah dibuat sejak sekian lama, namun hanya diproses apabila keadaan politik dilihat lebih sesuai.
“Hasnul Zulkarnain sebelum ini tidak meninggalkan parti kerana dipecat atau disingkirkan. Apa yang berlaku adalah susulan perkembangan politik ketika kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020.
“Parti-parti lain termasuk UMNO juga mengambil pendekatan menerima semula ahli-ahli yang pernah keluar atau dipecat. Jadi saya merasakan ini masa yang sesuai untuk kita mempertimbangkan semula permohonan Hasnul serta beberapa ahli lain yang berada dalam situasi sama,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan semula Hasnul turut tertakluk kepada garis panduan yang sedang dirangka bagi menguruskan kemasukan semula bekas ahli parti pada masa akan datang.
Sementara itu, Hasnul ketika ditemui pemberita menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan AMANAH atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk kembali bersama parti tersebut.
Katanya, keputusan itu mencerminkan keyakinan kepimpinan terhadap kemampuannya untuk terus menyumbang kepada perjuangan AMANAH, khususnya di Perak.
“Mereka masih percaya bahawa saya boleh memberikan sumbangan kepada parti, khususnya AMANAH Perak dan kawasan Tambun dalam usaha memenangkan semula kerusi AMANAH di negeri ini.
“Pada masa sama, saya mahu membantu mengukuhkan Pakatan Harapan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Pada Mac 2020, Hasnul bersama dua lagi ADUN Pakatan Harapan mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Foto: Utusan Malaysia





