
SABAK BERNAM – Masyarakat perlu sentiasa berwaspada, berfikir secara kritikal dan mengamalkan penggunaan Internet yang lebih selamat serta bertanggungjawab, kata EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.
Menurutnya, seramai 32,461 ahli Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) daripada 13 pusat NADI di daerah ini memainkan peranan sebagai ejen dan duta komuniti bagi menghubungkan kerajaan dengan masyarakat setempat, selain membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital.
“Saya amat mengalu-alukan program komuniti seperti ini kerana ia membolehkan mesej keselamatan Internet disampaikan secara lebih dekat dengan masyarakat.
“Lebih membanggakan, usaha memperkasakan keselamatan digital kini tidak lagi tertumpu di bandar-bandar besar, sebaliknya diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Ahad.
Menurut Suee Lim, perkembangan teknologi dan penggunaan Internet yang semakin meluas turut membawa cabaran baharu, khususnya peningkatan jenayah dalam talian yang sering menyasarkan individu kurang arif mengenai taktik penipuan digital.
“Dalam dunia digital hari ini, ancaman tidak lagi hadir secara bersemuka. Ia boleh datang melalui mesej yang kelihatan meyakinkan, pautan yang seolah-olah sah atau kandungan yang dikongsi tanpa disemak terlebih dahulu,” katanya.







