
KOTA KINABALU – Komuniti permainan papan (Tabletop) Asia Tenggara berhimpun di sini sempena Sabah National Tabletop Con 2.0 bertempat di Sabah Art Gallery.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai berkata, sektor hiburan interaktif kini menjadi pemacu penting dalam menarik pelancong global, selari dengan evolusi industri pelancongan.
“Antara tarikan utama ialah pertandingan permainan papan “My Trip in Sabah” yang menggunakan elemen geografi sebenar negeri serta landmark budaya sebagai mekanik permainan.
“Selain pusingan akhir edisi Malaysia, pengunjung turut disajikan perlawanan pameran rentas negara melibatkan juara dari Singapura dan Malaysia sebagai simbol pertukaran budaya.
“Acara ini turut menjadi platform penting untuk pembangunan bakat dan inovasi dalam reka bentuk permainan di Asia Tenggara,” katanya pada perasmian majlis di sini pada Sabtu.

Menurut Josie, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pereka indie, penerbit serta vendor serantau bagi memahami aspek penceritaan, interaksi sosial dan reka bentuk artistik dalam pembangunan permainan moden.
“Menjelang malam, suasana acara diteruskan dengan penganjuran ‘Night Picnic at Kulung’ yang menggabungkan elemen gaya hidup santai komuniti tempatan dengan budaya moden, menjadikan pengalaman lebih menarik kepada pelbagai lapisan pengunjung termasuk keluarga dan penggemar hobi.
“Penganjuran ini membuktikan Sabah bersedia memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi kreatif serantau dengan skala acara kali ini meningkat dua kali ganda berbanding penganjuran sulung tahun lalu,” kongsinya.

Menurut Josie, permainan tabletop kini mengalami kebangkitan global dengan meletakkan Sabah sebagai hab komuniti ini, kita membuka peluang keusahawanan kreatif serta pelancongan niche yang mampu menarik generasi muda.
Program tersebut dianjurkan oleh Sabah Trade and Tourism Office Singapore dengan kerjasama Laiplayleow dan D’Hiejrah Global, serta disokong pelbagai agensi termasuk Sabah Tourism Board dan Tourism Malaysia.
Ia akan berlangsung bermula 20 hingga 21 Jun menampilkan penyertaan 20 pencipta dan vendor dari Malaysia, Singapura dan Brunei, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara hab baharu dalam industri kreatif dan permainan interaktif di rantau ini.




