
PENUBUHAN Tribunal Antibuli 2026 menerusi Akta Antibuli 2026 [Akta 867] dilihat berpotensi meningkatkan mekanisme perlindungan mangsa serta mempercepatkan pengendalian kes berkaitan buli.
Pengamal undang-undang, Zaim Jalal berkata, tribunal berkenaan berupaya menjadi platform khusus untuk menangani aduan dan tuntutan berkaitan kes buli, tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan dalam akta berkenaan.
Beliau berkata, keberkesanan tribunal itu bergantung kepada peruntukan yang digubal, termasuk dari segi bidang kuasa, proses pendengaran dan kaedah penguatkuasaan terhadap keputusan yang dibuat.
“Pada asasnya, tribunal boleh menjadi satu kaedah yang lebih khusus dalam menangani kes buli, terutama melibatkan tuntutan atau perintah yang berkaitan dengan mangsa.
“Bagaimanapun, kuasa tribunal bergantung kepada apa yang diperuntukkan dalam akta tersebut dan bagaimana perintah yang dikeluarkan dapat dikuatkuasakan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).

Menurut Zaim, dalam kebanyakan keadaan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tribunal masih mempunyai ruang untuk mendapatkan semakan melalui proses perundangan yang ditetapkan.
Beliau berkata, sekiranya tribunal diberikan kuasa untuk mengarahkan pembayaran pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa, aspek penguatkuasaan perlu diperjelaskan bagi memastikan keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mengulas secara keseluruhan mengenai Akta Antibuli 2026, Zaim berpandangan akta itu mampu melengkapkan kerangka perundangan sedia ada dalam usaha membanteras gejala buli.
Katanya, perlindungan terhadap kanak-kanak sebenarnya telah wujud menerusi pelbagai undang-undang termasuk Kanun Keseksaan dan peraturan disiplin sekolah, namun undang-undang baharu itu dilihat mampu menyediakan prosedur yang lebih khusus.
“Hak kanak-kanak sememangnya sudah dilindungi dalam undang-undang sedia ada. Namun, akta ini berpotensi menyediakan mekanisme pelaksanaan yang lebih jelas dan spesifik dalam menangani isu buli,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, akta ini turut mencerminkan usaha mewujudkan tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan institusi pendidikan dalam menangani masalah berkenaan.
Jelas Zaim, pendekatan itu penting kerana gejala buli bukan isu baharu dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan langkah pencegahan serta tindakan terhadap pelaku dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Usaha membanteras buli memerlukan komitmen bersama. Apa yang penting ialah memastikan setiap mekanisme yang diwujudkan benar-benar dapat melindungi mangsa dan membantu mencegah kejadian buli daripada berulang,” katanya.
Pada Selasa, kerajaan melancarkan Tribunal Antibuli 2026 bersempena penguatkuasaan rasmi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] yang bertujuan memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta berkenaan berjaya dikuatkuasakan dalam tempoh kurang setahun selepas diluluskan Parlimen pada Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, penggubalan undang-undang khusus itu dilihat semakin penting susulan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah, selain kesannya yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan emosi mangsa.




