
ASHGABAT – Malaysia dan Turkmenistan komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi peluasan kerjasama dalam pelbagai sektor strategik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, kerjasama strategik terbabit termasuk pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pembangunan modal insan.
“Hubungan kedua-dua negara kini berkembang jauh melangkaui sektor minyak dan gas, hasil kepercayaan serta persahabatan yang telah terjalin sekian lama.
“Berteraskan kepercayaan dan persahabatan yang telah terbina sekian lama, Malaysia dan Turkmenistan kini komited memperluas kerjasama dalam bidang strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Forum Malaysia-Turkmenistan bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, yang menghimpunkan pemimpin industri dan komuniti perniagaan kedua-dua negara bagi meneroka peluang kerjasama baharu.
Menurut Anwar, tahun ini turut mencatat detik penting apabila genap 30 tahun kehadiran Petronas di Turkmenistan, sekali gus membuktikan kejayaan kerjasama yang diasaskan atas rasa hormat, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi.
Beliau berkata pencapaian itu menjadi bukti bahawa hubungan yang kukuh antara negara mampu menghasilkan manfaat berterusan kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak.
Dalam ucapannya, Anwar turut merujuk kepada karya pujangga agung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy, yang menekankan pentingnya penyatuan hati, fikiran dan jiwa dalam menghadapi cabaran bersama.
“Semangat itulah yang menjadi asas hubungan Malaysia dan Turkmenistan hari ini,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar dan Berdimuhamedov menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting yang dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala.
Antara yang dimeterai ialah Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan.
Turut dimeterai Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok 19 dan Blok 20 antara Petronas dengan State Concern Turkmennebit serta State Enterprise Hazarnebit, selain Perjanjian Kerjasama bagi pelaksanaan Kajian Seismik 2D untuk blok-blok luar pesisir utara antara Petronas dan State Concern Turkmennebit.
Anwar yakin kesepakatan yang dicapai akan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Turkmenistan serta menjadi contoh bagaimana negara-negara Selatan Global (Global South) dapat membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran bersama.






