MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Jumaat meluangkan masa melakukan pertemuan mengejut bersama keluarga seorang pelajar yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Sendayan, pada Jumaat.
Perjumpaan itu bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberikan sokongan kepada mereka yang sedang berdepan saat penuh kesedihan.
Fadhlina berkata, sejurus menerima berita pemergian pelajar terbabit, beliau bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad turun padang bagi melihat sendiri keadaan keluarga serta memastikan mereka tidak berdepan situasi itu secara bersendirian.
Menurutnya, pada waktu yang amat sukar ini, keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan dapat disalurkan kepada keluarga serta semua pihak yang terkesan.
“Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada hari ini (Jumaat). Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Tiada apa yang lebih utama pada ketika ini selain memastikan bantuan terbaik kepada keluarga dan semua yang terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Jumaat.

Fadhlina turut memaklumkan bahawa kejadian itu kini dalam siasatan pihak polis dan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melancarkan proses siasatan.
Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghormati privasi keluarga mangsa.
“Saya menyeru masyarakat untuk memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan keadaan sukar pada ketika ini.
“Semoga keluarga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. Kejadian ini sedang disiasat oleh pihak polis. KPM memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai terjatuh dari blok bangunan sebuah sekolah menengah di Sendayan, pada Jumaat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat pada jam 10.48 pagi tadi berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, hasil laporan memaklumkan bahawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam kawasan sebuah sekolah menengah di daerah tersebut.
Alzafny memaklumkan, polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengenal pasti beberapa individu yang dapat membantu siasatan
Kehadiran Fadhlina turun padang bertemu keluarga mangsa memperlihatkan komitmen KPM untuk bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek siasatan, malah memastikan kebajikan dan sokongan emosi kepada keluarga yang ditimpa musibah terus menjadi keutamaan.



