Tulisan Presiden Pas dan pengakuan terbuka kegagalan projek ‘Penyatuan Umat’

TULISAN Minda Presiden Pas bertajuk ‘Pas tidak pisahkan politik daripada Islam (Al-Din)’ yang diterbitkan baru-baru ini menarik perhatian ramai pemerhati politik.

Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, pada zahirnya, tulisan tersebut bertujuan menjelaskan keputusan Pas menamatkan ta’awun siyasi dengan Bersatu.

Namun apabila diteliti secara mendalam, kandungannya sebenarnya membawa mesej yang jauh lebih besar: ia merupakan pengakuan terbuka bahawa projek politik yang selama ini dipromosikan atas nama ‘penyatuan umat’ telah gagal mencapai matlamat yang dijanjikan.

Menurutnya, sejak sekian lama, Pas menjadikan naratif perpaduan umat Islam sebagai asas utama pembentukan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional.

“Perpaduan itu digambarkan sebagai tuntutan agama yang wajib dipertahankan dan menjadi jalan keluar kepada ketidakstabilan politik negara.

“Namun persoalan yang timbul hari ini cukup mudah. Jika perpaduan umat merupakan prinsip yang begitu penting, mengapa gabungan politik yang dipimpin dan didominasi Pas sendiri akhirnya berpecah?” soalnya.

Dalam tulisannya, Presiden Pas melontarkan pelbagai tuduhan terhadap Bersatu.

“Antaranya ialah sikap tamak kuasa, perebutan kerusi, krisis dalaman, kegagalan moral, ketidaksetiaan kepada rakan sekutu serta pengkhianatan terhadap agenda perpaduan umat.

“Tuduhan-tuduhan tersebut memberi gambaran bahawa Bersatu merupakan punca utama kegagalan kerjasama dalam Perikatan Nasional.

“Namun penjelasan sedemikian menimbulkan persoalan yang sukar dielakkan,” katanya.

Menurutnya lagi, jika semua kelemahan itu benar-benar wujud dan telah diketahui sejak sekian lama, mengapa Pas terus mempertahankan Bersatu selama bertahun-tahun?

“Mengapa Pas berkali-kali meminta rakyat memberikan sokongan kepada gabungan yang kini mereka sendiri gambarkan sebagai bermasalah?

“Dan mengapa hanya selepas hubungan politik semakin retak, segala kelemahan tersebut tiba-tiba diketengahkan sebagai alasan untuk memutuskan kerjasama?” soalnya.

Hakikatnya, tulisan tersebut lebih menyerupai usaha mencari justifikasi politik daripada penjelasan yang benar-benar menjawab persoalan rakyat.

Menurut Mahfuz lagi, lebih membimbangkan, ia mendedahkan kegagalan Pas mengurus dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakan politiknya sendiri.

“Pas sering mendakwa bahawa mereka membawa politik Islam yang berteraskan amanah, keadilan dan perpaduan.

“Namun ukuran kejayaan sesuatu perjuangan bukanlah pada jumlah dalil yang dipetik atau istilah Arab yang digunakan.

“Ukuran sebenar ialah sejauh mana nilai-nilai tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, pengurusan organisasi dan keupayaan menyelesaikan konflik secara matang,” katanya.

Dalam konteks Perikatan Nasional, apa yang berlaku menunjukkan sebaliknya. Konflik yang tercetus kelihatan lebih berkisar kepada soal pengaruh, kedudukan dan pengagihan kuasa berbanding perbezaan prinsip yang mendasar.

Apabila isu kerusi dan jawatan menjadi pertikaian utama, rakyat sukar menerima dakwaan bahawa perpecahan tersebut semata-mata berpunca daripada kegagalan pihak lain memahami konsep perpaduan.

Pada masa yang sama, Mahfuz berkata, rakyat sedang berhadapan dengan cabaran yang jauh lebih besar.

“Kos sara hidup terus meningkat. Peluang pekerjaan berkualiti menjadi kebimbangan golongan muda.

“Pendidikan anak-anak memerlukan perhatian serius. Ekonomi negara pula berdepan ketidaktentuan akibat perkembangan geopolitik dan konflik di Asia Barat,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan ini, apa yang rakyat perlukan ialah idea, dasar dan penyelesaian yang mampu memperbaiki kehidupan mereka.

Malangnya kata Mahfuz, apa yang dipersembahkan ialah satu lagi episod pertelingkahan sesama sendiri dalam kalangan pemimpin pembangkang.

“Tulisan Presiden Pas juga menimbulkan beberapa persoalan asas yang masih belum terjawab.

“Jika perpaduan umat adalah kewajipan agama, mengapa Pas gagal mempertahankan perpaduan dalam Perikatan Nasional?

“Jika Bersatu begitu bermasalah, mengapa Pas mempertahankannya selama ini? Jika Pas mendakwa paling memahami konsep perpaduan, mengapa hampir setiap kerjasama politik yang disertainya akhirnya berakhir dengan perpecahan?,” katanya.

Beliau berkata, persoalan-persoalan ini tidak boleh dijawab hanya dengan menyalahkan pihak lain.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa ia memerlukan muhasabah yang jujur terhadap pendekatan politik yang telah dilaksanakan selama ini.

Kata Mahfuz lagi, Minda Presiden Pas kali ini bukan lagi sekadar sebuah tulisan politik biasa. Ia lebih menyerupai notis cerai politik yang dibungkus dengan hujah-hujah agama dan sejarah.

“Di sebalik usaha meletakkan tanggungjawab kegagalan kepada Bersatu, tulisan tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa projek ‘penyatuan umat’ yang menjadi slogan utama Pas selama ini gagal dipertahankan oleh mereka sendiri.

“Mudah untuk bercakap tentang perpaduan. Yang sukar ialah membuktikannya. Mudah untuk menyalahkan pihak lain atas perpecahan,” katanya.

Menurut Mahfuz lagi, apa yang lebih penting ialah keberanian mengakui kegagalan sendiri.

Katanya, jika perpaduan umat benar-benar menjadi ukuran kejayaan politik Pas, maka perpecahan antara Pas dan Bersatu hari ini merupakan bukti bahawa projek tersebut telah menemui jalan buntu.

Menurutnya, rakyat berhak menilai dan membuat kesimpulan mereka sendiri terhadap kegagalan yang kini semakin sukar disembunyikan.

Related Posts

Media ASEAN perlu perkukuh kerjasama tangani maklumat palsu

BUTTERWORTH – Kerjasama lebih erat antara pengamal media di negara-negara ASEAN perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan pelaporan yang tepat dan seimbang, selain membantu menangani penularan maklumat palsu yang semakin mencabar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kementerian Komunikasi komited pertahan peluang kerja wartawan

BUTTERWORTH – Kementerian Komunikasi memberi jaminan akan terus mempertahankan peluang pekerjaan wartawan di negara ini meskipun industri media berdepan pelbagai cabaran termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tekanan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Media ASEAN perlu perkukuh kerjasama tangani maklumat palsu

Media ASEAN perlu perkukuh kerjasama tangani maklumat palsu

Kementerian Komunikasi komited pertahan peluang kerja wartawan

Kementerian Komunikasi komited pertahan peluang kerja wartawan

Pelajar tingkat 4 jatuh: Fadhlina seru hormati keluarga pelajar, elak sebarang spekulasi

Pelajar tingkat 4 jatuh: Fadhlina seru hormati keluarga pelajar, elak sebarang spekulasi

Pelajar perempuan Tingkatan Empat maut jatuh bangunan sekolah

Pelajar perempuan Tingkatan Empat maut jatuh bangunan sekolah

Permohonan SPRM sekat isteri Tun Daim urus aset RM5.5 bilion di Jersey didengar 13 Ogos

Permohonan SPRM sekat isteri Tun Daim urus aset RM5.5 bilion di Jersey didengar 13 Ogos

Tulisan Presiden Pas dan pengakuan terbuka kegagalan projek ‘Penyatuan Umat’

Tulisan Presiden Pas dan pengakuan terbuka kegagalan projek ‘Penyatuan Umat’