
LIMBANG – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disaran terus memperkukuh pentadbiran dan lebih kreatif memacu ekonomi setempat bagi mengelakkan anak muda berhijrah ke bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, jawatankuasa berkenaan memainkan peranan penting sebagai rakan strategik serta penghubung rasmi antara kerajaan dengan rakyat.
Jelas beliau, tanggungjawab JKKK bukan sekadar memimpin masyarakat, malah perlu memastikan setiap dasar dan bantuan daripada kerajaan negeri serta Persekutuan disampaikan kepada golongan sasar dengan sewajarnya.
“Peranan ini amat penting kerana JKKK merupakan pentadbiran di peringkat akar umbi yang paling hampir dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Ceramah Motivasi Pendidikan dan Ceramah Pemantapan JKKK pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata JKKK wajar mengenal pasti serta membangunkan peluang ekonomi termasuk sektor pelancongan yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung.
Menurutnya, fenomena penghijrahan golongan muda ke bandar bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik kini menjadi trend di seluruh negara dan bukan hanya berlaku di Limbang.
“Namun, jika JKKK berjaya membangunkan potensi ekonomi kampung, saya percaya lebih ramai anak muda akan memilih untuk terus tinggal dan membangunkan kawasan mereka sendiri,” ujarnya.
Bagi menyokong inisiatif tersebut, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap pemerkasaan JKKK menerusi pelbagai penganjuran kursus dan latihan.
Langkah itu, tambahnya, amat penting bagi melengkapkan pemimpin akar umbi dengan pengetahuan serta kemahiran yang mencukupi untuk memacu pembangunan secara komprehensif, merangkumi sektor ekonomi, pertanian, pelancongan dan keusahawanan.






