
SEREMBAN – Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpindah kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini masih sebagai spekulasi politik.
Aminuddin ketika mengulas perkara itu memaklumkan, kedudukan sebenar beliau dalam PRN itu kelak akan diumumkan oleh Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan pada 18 Julai ini.
“Saya tidak tahu sama ada kekal atau tidak. Esok tiba-tiba saya kembali semula ke (DUN) Sikamat atau mungkin di Labu. Saya tidak tahu di mana, khabar angin biasa dalam politik.
“Kalau tidak dengar khabar angin maka tidak ada cerita politik. Khabar anginlah yang menyebabkan politik selalu bergelora,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Pulau di Labu dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Roslan Hussin.
Sehubungan itu, Aminuddin berharap semua pihak termasuk wartawan dapat bersabar menunggu nama-nama calon yang akan diumumkan kelak.
“Kita lama lagi hendak pilihan raya. Penamaan calon pun selepas PRN Johor jadi kita tunggu sajalah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Aminuddin yang juga Menteri Besar dikhabarkan akan bertanding di kerusi DUN Linggi dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.
Sekiranya benar, Aminuddin bakal meninggalkan kerusi Sikamat yang disandangnya selamat empat penggal iaitu sejak 2008.
Spekulasi itu semakin kuat kedengaran, apatah lagi Aminuddin ialah Ahli Parlimen Port Dickson dan juga Ketua PKR Cabang Port Dickson.
Ketika ini, kerusi DUN Linggi disandang oleh Datuk Mohd. Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN).









