
KOTA KINABALU – Gerakan koperasi di Sabah perlu berani melakukan transformasi dan keluar daripada model perniagaan tradisional dengan meneroka sektor-sektor strategik berimpak tinggi bagi memperkukuhkan ekonomi rakyat serta menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam persekitaran ekonomi dan teknologi yang berubah pantas, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada aktiviti konvensional semata-mata jika mahu terus kekal relevan dan berdaya saing.
“Transformasi perniagaan membolehkan koperasi mempelbagaikan sumber pendapatan, menembusi pasaran baharu serta memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul sejajar dengan perubahan semasa.
“Kerajaan negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri jika sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media, di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, KOPEKS merupakan contoh terbaik koperasi yang berjaya melaksanakan transformasi apabila berkembang daripada sebuah koperasi berasaskan kemudahan kredit kepada organisasi yang terlibat dalam pelbagai sektor strategik bernilai tinggi.







