
TAWAU – Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah meneliti keperluan menaik taraf kemudahan sukan termasuk padang dan kompleks sukan di seluruh Sabah
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. berkata, usaha menaik taraf kemudahan sukan itu penting bagi memastikan atlet dan pasukan yang mewakili Sabah mempunyai kemudahan latihan yang lebih baik.
“Kita sudah mengarahkan pegawai kementerian menjalankan kajian serta menyediakan perincian mengenai keperluan menaik taraf fasiliti sukan di beberapa daerah.
“Lawatan itu ke beberapa daerah termasuk Tawau untuk melihat sendiri keadaan kemudahan sukan yang ada.
“Hasil kajian itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan kerja penambahbaikan,” ujarnya selepas perlawanan persabahatan bola sepak Pasukan Pilihan Tawau dan Sabah Bawah 20 Tahun (B-20) di Kompleks Sukan Tawau pada Rabu.

Tambah Nizam yang juga ADUN Apas, Kerajaan Sabah komited mempertingkatkan kualiti infrastruktur sukan bagi menyokong pembangunan atlet selain melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama Sabah di peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Nizam berkata, kejohanan perlawananan bola sepak selama tiga hari itu dianjurkan bagi menilai tahap kesiapsiagaan skuad Sabah B-20 yang bakal mewakili negeri pada SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor bermula 15 hingga 24 Ogos depan.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada jurulatih dan pengurusan pasukan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pemain sebelum senarai akhir skuad SUKMA dimuktamadkan.
“Dari segi kecergasan dan kelajuan, pemain kita cukup baik. Namun aspek teknikal dan semangat berpasukan masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan pasukan mampu bersaing di peringkat tertinggi,” ujarnya.





