
MENYEDIHKAN, dalam dunia yang bergerak pantas dengan segala perkembangan teknologi terkini, kebenaran sering kali tidak lagi dinilai berdasarkan data, bukti atau realiti yang boleh diukur.
Sebaliknya, kebenaran itu ditentukan oleh apa yang membuatkan orang ramai marah, takut, atau teruja. Itulah yang dianggap kebenaran.
Inilah cabaran terbesar zaman kita hari ini. Kita teraba-raba mencari kebenaran dalam ledakan teknologi maklumat di hujung jari.
Apabila emosi mula mengatasi fakta, perbincangan tidak lagi menjadi medan mencari kebenaran, sebaliknya bertukar menjadi gelanggang perebutan persepsi.
Yang paling lantang dianggap paling benar. Yang paling menyentuh perasaan dianggap paling meyakinkan. Manakala fakta pula terpaksa bersaing dengan sentimen yang tersebar jauh lebih pantas.
Kesan yang paling jelas ialah lahirnya masyarakat yang semakin berpecah belah. Isu-isu tertentu dimainkan atas sentimen kaum, agama, ideologi atau kelompok sehingga masyarakat terbahagi kepada dua kem yang saling mencurigai antara satu sama lain.
Pada ketika itu, tidak lagi wujud ruang tengah untuk perbincangan yang rasional. Sesiapa yang cuba membawa fakta secara seimbang akan dilabel sebagai pengkhianat atau tidak setia kepada kelompok sendiri.
Keadaan ini menjadi lebih rumit dalam era media sosial. Kita hidup dalam zaman di mana ramai orang hanya membaca tajuk berita tanpa meneliti kandungan sebenar.
Reaksi diberikan sebelum semakan dibuat. Hukuman dijatuhkan sebelum fakta diperoleh.
Akibatnya, budaya kecaman beramai-ramai semakin menjadi kebiasaan, manakala algoritma media sosial pula terus mengurung pengguna dalam ruang yang hanya mengulangi pandangan yang mereka mahu dengar.
Dalam masa yang sama, ketakutan dan kemarahan menjadi senjata paling mudah untuk dimanipulasi.
Sesuatu isu boleh dibesarkan sehingga menimbulkan panik walaupun realitinya jauh berbeza. Apabila fakta diketepikan dan kebimbangan dijadikan modal politik atau propaganda, masyarakat akhirnya hidup dalam keadaan gelisah, hilang keyakinan, dan mudah dipengaruhi oleh khabar angin.
Lebih membimbangkan, sentimen yang melampau turut memberi kesan kepada proses membuat keputusan. Apabila pemimpin lebih takut kehilangan populariti berbanding gagal menyelesaikan masalah, keputusan yang lahir selalunya bersifat sementara dan populis. Ianya mungkin mendapat tepukan hari ini, tetapi meninggalkan beban yang lebih besar pada masa hadapan.
Masalah sebenar tidak diselesaikan, sebaliknya hanya ditangguhkan demi memuaskan emosi semasa.
Pada akhirnya, golongan yang paling terkesan ialah mereka yang selama ini bertanggungjawab membawa ilmu dan kepakaran.
Saintis, ahli ekonomi, pendidik serta pelbagai pakar semakin sukar didengari kerana fakta yang mereka bentangkan sering kalah kepada naratif yang lebih emosional. Sedikit demi sedikit, kepercayaan terhadap institusi, data dan pengetahuan mula terhakis.
Hakikatnya, fakta memang memerlukan masa untuk difahami. Ianya memerlukan penelitian, semakan dan kesabaran. Namun emosi hanya memerlukan beberapa saat untuk membakar semangat manusia.
Sebab itulah dalam dunia hari ini, cabaran terbesar bukan sekadar mencari maklumat, tetapi membezakan antara apa yang benar dengan apa yang hanya membuatkan kita mahu mempercayainya.
Itulah apa yang berlaku hari ini, pemain-pemain politik memanipulasikan emosi dan sentimen demi mendapatkan sokongan tanpa berasaskan fakta.
Jika emosi terus menjadi pemandu utama kepada keputusan masyarakat, maka kebenaran akan menjadi nilai yang semakin tidak dipedulikan.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)







