Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

PUTRAJAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung akan dikurangkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026.

Bagaimanapun, harga petrol RON97 dan RON95 kekal masing-masing pada RM4.35 seliter dan RM3.72 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan harga diesel itu dibuat berdasarkan pergerakan purata harga pasaran minyak global pada minggu sebelumnya mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Bagi bahan api bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.Pada masa sama, harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

MoF turut memaklumkan harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala kadar bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) terus kekal pada RM2.15 seliter.

Menurut kementerian itu, pengguna BUDI95 yang menggunakan 200 liter RON95 sebulan hanya perlu membayar RM398 berbanding RM744 pada harga pasaran semasa, sekali gus menikmati penjimatan sebanyak RM346 sebulan.

Kerajaan dianggarkan menanggung subsidi bahan api berjumlah RM3.5 bilion sebulan berdasarkan harga pasaran semasa, dengan subsidi RON95 diunjurkan mencecah RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion sebulan.

MoF menjelaskan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM4.37 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos dalam sektor pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Kementerian itu juga memaklumkan perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat, khususnya petunjuk ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan, telah menyumbang kepada penurunan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa faktor masih berpotensi mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras sebelum konflik.

Antaranya ialah ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai gagal mencapai penyelesaian muktamad.

MoF berkata, bekalan bahan api negara kekal stabil dan mencukupi ketika ini, manakala Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pengurusan subsidi secara berhemat.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

Related Posts

Kembara Tanah Biso mohon maaf persenda, cipta provokasi Institusi Undang Negeri Sembilan

SEREMBAN – Kembara Tanah Biso tampil memohon ampun dan maaf kepada Institusi Undang Negeri Sembilan susulan hantaran di media sosial yang didakwa mempermainkan struktur kepimpinan Adat Perpatih sehingga mencetuskan pelbagai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

PAUH PUTRA – Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan amalan menjual tempat pengajian dan kemasukan pelajar melalui ‘jalan belakang’ ke universiti awam yang tular menerusi satu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kembara Tanah Biso mohon maaf persenda, cipta provokasi Institusi Undang Negeri Sembilan

Kembara Tanah Biso mohon maaf persenda, cipta provokasi Institusi Undang Negeri Sembilan

Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom