KUANTAN – OCBC Bank (Malaysia) Berhad menganjurkan program pembangunan komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau, dekat sini.
Penganjuran itu adalah selaras dengan aspirasi mereka untuk menjadi rakan perkhidmatan kewangan utama bagi membentuk masa depan mampan.
Melalui inisiatif pembangunan komuniti itu, pelbagai aktiviti antaranya mengecat bahagian luar bangunan, bingkai tingkap dan pagar batu sekeliling sekolah berkenaan.
Seramai 135 kakitangan OCBC Bank, termasuk dari Hong Kong dan Singapura menyertai program terbabit.
Kos bagi melaksanakan program itu yang berjumlah RM184,113 adalah hasil sumbangan dikumpul oleh kakitangan bank berkenaan.
![]()
Guru Besar SK Bukit Sekilau, Mohd Ramli Deris berkata program itu berjaya menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.
“Ini adalah kali pertama sekolah kami menerima bantuan dari pihak luar.
“Sudah tentu program seumpama ini mencatatkan sejarah tersendiri kepada SK Bukit Sekilau yang sudah berusia 44 tahun,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pernah merancang untuk menambah baik infrastruktur sekolah itu, namun terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan dana.
Selain melaksanakan program pembangunan komuniti, OCBC Bank turut menyediakan dan memasang seunit water cooler, 300 kerusi plastik dan tiga set meja batu berserta payung.
“Mereka juga menyediakan pasu bunga dan menanam pokok di taman herba kelas pendidikan khas.
“Sukarelawan turut menambahkan sentuhan kreativiti dengan melukis mural di dinding sekolah yang mengandungi kata-kata semangat,” katanya.



