
KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mula memanaskan enjin jentera pilihan rayanya di Perlis dengan mengadakan pelbagai program sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal daripada jangkaan.
Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan ahli-ahli parti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku perubahan landskap politik semasa.
“Menjadi keutamaan kami untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Walaupun Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis menzahirkan harapan supaya kerajaan negeri dikekalkan sehingga akhir penggal, sebagai parti politik kita perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya selepas sesi taklimat dan makan bersama anggota parti di sini.
Turut hadir pemimpin muda komponen blok politik Pakatan Harapan dari DAP dan AMANAH.
Menurut Muhammad Izuan, perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan yang berdepan kemungkinan pilihan raya lebih awal menjadi antara faktor yang mendorong parti memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera di seluruh negara termasuk Perlis.
Katanya, lawatan pimpinan pusat ke negeri itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli parti selain menyelaras gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang.
“Sepanjang hari ini kita mengadakan pelbagai program termasuk turun bertemu pengundi di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi PKR.
“Ahli-ahli juga menerima taklimat dan penerangan daripada pimpinan pusat berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya,” ujarnya.
Muhammad Izuan berkata, buat masa ini parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) di Perlis terus bergerak mengikut pembahagian kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu.
“Setakat ini masing-masing bergerak mengikut kawasan yang ditandingi sebelum ini dan melakukan kerja-kerja di lapangan.
“Jika ada keputusan baharu atau arahan daripada kepimpinan pusat, perkara itu akan dibincangkan kemudian, namun ketika ini semua parti dalam PH meneruskan gerak kerja masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, PKR sebelum ini bertanding di sembilan kerusi DUN, manakala Amanah di lima kerusi dan DAP satu kerusi.
Beliau berkata, AMK akan terus memperkukuhkan jentera di semua peringkat bagi memastikan parti berada dalam keadaan bersedia sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.





