Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan menerusi Akta Majlis Media Malaysia 2025.

MMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia pada mesyuarat yang berlangsung pada 26 Mei lalu.

Menurut majlis berkenaan, pelantikan Nallini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh fungsi MMM sebagai institusi bebas yang berperanan menjaga kepentingan awam dan memperkasakan industri media negara.

“Komitmen beliau (Nallini) sepanjang kerjaya terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu yang paling sesuai untuk memimpin MMM ketika ia memulakan peranannya dalam memupuk media yang bebas, bertanggungjawab dan dikawal selia secara kendiri di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Nallini menamatkan perkhidmatannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu selepas 18 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman negara.Sepanjang tempoh itu, beliau berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan selain menghasilkan kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk keputusan penting membabitkan undang-undang perlembagaan dan komersial.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia.Sebelum menyertai badan kehakiman, Nallini beramal sebagai peguam di Tetuan Skrine selama lebih dua dekad dan kini berkhidmat sebagai penimbang tara serta pengantara.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa, ahli Kumpulan Pemandu Forum Antarabangsa Tetap Mahkamah Komersial, serta hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.

Sebagai badan kawal selia kendiri industri media, MMM bertanggungjawab memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan aduan awam berkaitan media, mempromosikan amalan beretika serta mempertahankan kebebasan media sebagai asas penting demokrasi.

Menurut kenyataan itu, di bawah kepimpinan Nallini, MMM akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi, pelaksanaan Kod Tatakelakuan, pembangunan sistem aduan yang adil dan diyakini, serta usaha meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap peranan media dalam sistem demokrasi.

Majlis itu juga akan mengutamakan reformasi undang-undang berkaitan media, wartawan dan hak orang awam untuk mendapatkan maklumat yang tepat, selain menggalakkan pembentukan persekitaran perundangan yang lebih jelas dan seimbang.

Usaha itu, menurut MMM, selaras dengan prinsip kebebasan bersuara, hak terhadap maklumat, etika kewartawanan dan kepentingan awam.

Pelantikan Nallini dibuat ketika industri media berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), penularan maklumat palsu dan mengelirukan, ancaman terhadap wartawan serta cabaran memulihkan keyakinan masyarakat terhadap media.

“MMM yakin bahawa kepimpinan Tan Sri Nallini akan membantu memacu Majlis ke arah fasa yang lebih matang, bebas dan berwibawa, berteraskan tiga asas utama, iaitu standard, etika dan kebebasan,” menurut kenyataan itu.

Related Posts

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini. Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET