
JAWATANKUASA Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengeluarkan amaran bahawa ribuan rakyat Palestin yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Gaza mungkin tidak akan dapat dikenal pasti identiti mereka selama-lamanya.
Laporan yang diterbitkan oleh akhbar The Guardian mendedahkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa berbaki masih berjalan dengan amat perlahan meskipun perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) telah berkuat kuasa sejak Oktober lalu.
Faktor masa yang kian berlarutan turut meningkatkan risiko sisa jenazah mereput sepenuhnya sehingga sukar dicam melalui kaedah forensik biasa.
“Tidak syak lagi bahawa mayat-mayat ini akan menjadi sangat sukar untuk dikesan dalam masa terdekat.
“Semakin lama tempoh masa diambil untuk mengeluarkan sisa jenazah, semakin rumit proses pengenalan pasti dijalankan. Mayat yang terbiar lama di bawah runtuhan cenderung mengalami fasa pereputan yang kritikal, malah ada yang hanya tinggal rangka,” kata Jurucakap Palang Merah di Baitulmaqdis, Pat Griffiths, lapor Anadolu.
Beliau menambah, kelewatan tersebut menyebabkan pakar forensik kehilangan akses kepada bukti mengikut keadaan (circumstantial evidence) yang lazimnya digunakan untuk mengesahkan identiti mangsa.
Ketika ini, rakyat Palestin dilaporkan mula menyelongkar anggaran 61 juta tan sisa runtuhan yang terkumpul sepanjang tempoh peperangan.
Pegawai kesihatan di Gaza menganggarkan sekurang-kurangnya 10,000 mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan, manakala beberapa pakar lain percaya angka sebenar boleh mencecah sehingga 14,000 orang.
Laporan akhbar berkenaan turut mendedahkan bahawa pasukan penyelamat sebahagian besarnya terpaksa bergantung kepada peralatan asas seperti sekop, beliung, kereta sorong, pencakar, cangkul, selain menggunakan tangan kosong untuk mengeluarkan sisa jenazah.
Rangkaian permohonan rasmi yang dikemukakan bagi membawa masuk jentera pengorek (excavator) serta peralatan berat lain untuk mempercepatkan operasi pemulihan dilaporkan masih tidak mendapat kelulusan.
“Pasukan pencari memerlukan akses menyeluruh ke semua tapak yang dipercayai menempatkan sisa jenazah manusia.
“Kita sedia maklum bahawa peralatan dan jentera ini hampir mustahil untuk dibawa masuk ke Gaza ketika ini. Menjadi tuntutan kami menerusi dialog langsung dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membenarkan kemasukan barangan perkakasan ini,” tegas Griffiths.
Sementara itu, pegawai Israel yang dihubungi oleh The Guardian mengesahkan tiada sebarang kelulusan diberikan setakat ini bagi membawa masuk peralatan yang digunakan untuk mengeluarkan mayat ke Gaza.
Pihak Palang Merah menegaskan kelewatan yang berpanjangan ini bakal menjejaskan usaha pengenalan pasti pada masa hadapan berikutan faktor perubahan persekitaran, perpindahan sisa jenazah serta kehilangan barang peribadi mangsa yang memadamkan bukti forensik kritikal.
“Kami melihat skala tugas ini amat besar dan memahami implikasinya. Ribuan keluarga masih menanti jawapan demi menuntut hak mereka untuk mengetahui nasib insan yang tersayang,” kata Griffiths.








