PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud sedikit unsur ‘khianat’ dalam kerjasama politik di Negeri Sembilan yang kemudian memaksa kerajaan negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan khianat itu secara khusus merujuk kepada tindakan yang boleh menjejaskan kerjasama dan kestabilan politik yang telah dipersetujui di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kenyataannya mengenai pengkhianatan bukan ditujukan secara umum, sebaliknya dalam konteks menjayakan kerjasama yang dibina demi kepentingan negara.
“Saya bagi kenyataan bahawa dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini, jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tak khianat, baguslah.
“Tetapi kalau kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya, tapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan. Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (Koprojaya) di Dewan Damar Sari, Kompleks F, pada Ahad.
Anwar mengulas isu berkenaan susulan kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menepis dakwaan kononnya parti itu sebagai pengkhianat di sebalik pembubaran kerajaan di Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, tidak sepatutnya timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran berakhir, sebaliknya perubahan kerajaan perlu berlaku menerusi proses demokrasi
Dalam pada itu, Anwar berkata, soal sama ada sesebuah negeri mahu mengadakan pilihan raya lebih awal adalah hak kerajaan negeri berkenaan untuk menentukannya.
“Dalam soal Johor pula, itu terserahlah dia nak adakan pilihan raya lebih awal, tapi saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan ekonomi negara, masalah rakyat.
“Kalau dalam tiga empat bulan ini kita sibuk soal pilihan raya, padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu kepada perkara itu, itu yang saya maksudkan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya tiada tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat kerjasama dan muafakat politik, maka perkara itu tidak menjadi isu.
“Kalau tidak, tak ada khianat, tak apalah. Tapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa pengkhianatan terhadap kerajaan negeri oleh UMNO membawa kepada pembubaran DUN.








