
MIRI – Lebih 15 pengamal media dan pempengaruh (influencer) menyertai program familiarisasi media, Miri In-depth Experience bermula 12 hingga 15 Jun ini bagi mempromosikan keunikan budaya, gastronomi dan ekopelancongan di bandar raya ini.
Program anjuran Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man itu dimulakan dengan pengalaman istimewa mengenali kepelbagaian makanan tradisional Sarawak.
Para peserta dibawa berkunjung ke pasar tempatan untuk melihat sendiri bahan masakan unik di negeri ini seperti terung asam, midin, pucuk ubi dan batang keladi, sebelum menyertai sesi memasak di Heritage Cultural Restaurant.
Selain itu, mereka turut mempelajari cara-cara menyediakan hidangan tradisional seperti nasi Bario, kuih dinuh yang merupakan juadah masyarakat Kayan dan sayur pucuk ubi, di samping berpeluang menjamah ulat sagu bakar serta minuman tradisional iaitu tuak dan langkau.

Mengulas lanjut, Choon Man berkata, konsep pelancongan berasaskan pengalaman itu mampu memberikan nilai tambah kepada pelawat kerana membolehkan mereka menghayati budaya dan warisan tempatan secara langsung.
“Kita berharap program seumpama ini dapat memacu promosi Miri sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak menerusi liputan meluas rakan media serta perkongsian di platform media sosial,” jelas beliau.
Antara yang menyertai program tersebut ialah pembaca berita 8TV, Tan Chia Yong; penyampai radio 998, PM Wang; Essel Yap (AiFM) dan Anson (8FM).
Turut serta wakil wartawan daripada Agensi Berita Xinhua, akhbar Sin Chew Daily serta beberapa pempengaruh pelancongan.






