
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengeluarkan amaran keras bahawa siri serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki kini dikesan berlaku pada kadar “paling tinggi dalam sejarah”.
Mengulas perkembangan itu, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, memetik data daripada Pejabat Penyelarasan Urusan Kemanusiaan (OCHA) yang mendedahkan insiden keganasan terbabit kini mencatatkan purata enam kejadian setiap hari, sekali gus mengakibatkan kecederaan serta kemusnahan harta benda yang serius.
“Jumlah serangan pendatang haram Yahudi yang menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda di Tebing Barat pada tahun ini kini telah melepasi angka 1,000 kes.
“Siri serangan ini telah menjejaskan lebih daripada 230 komuniti di seluruh pelosok Tebing Barat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York, lapor Anadolu.
Dujarric turut menambah bahawa lebih 2,200 warga Palestin terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing pada tahun ini akibat keganasan melampau serta sekatan akses oleh pendatang haram tersebut, di samping ratusan lagi yang kehilangan tempat tinggal susulan tindakan pihak berkuasa Israel merobohkan rumah mereka.
“Pada minggu lalu sahaja, serangan oleh kumpulan pendatang haram itu mengakibatkan lebih 30 warga Palestin cedera selain membawa kepada kemusnahan harta benda yang meluas, kerosakan infrastruktur utama serta menjejaskan punca pendapatan penduduk,” jelas beliau.
Pihak berkuasa Palestin dilaporkan telah berdekad-dekad menggesa komuniti antarabangsa untuk menekan Israel bagi menghentikan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat, yang mana PBB sendiri mengklasifikasikannya sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Sejak Israel melancarkan kempen ketenteraannya ke atas Gaza pada Oktober 2023, pegawai Palestin menegaskan bahawa langkah agresif rejim Zionis untuk menguasai Tebing Barat secara total kini semakin diperhebat melalui siri perobohan rumah, pengusiran paksa dan perluasan kawasan penempatan secara mendadak.
Berdasarkan data daripada pertubuhan hak asasi Peace Now, kira-kira 500,000 pendatang haram Israel kini mendiami kawasan penempatan haram di seluruh Tebing Barat, manakala 250,000 lagi menetap di kawasan yang dibina di atas tanah milik Palestin di timur Baitulmaqdis yang diduduki.
Statistik rasmi Palestin turut menunjukkan bahawa tentera rejim serta kelompok pendatang haram telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,169 nyawa rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk timur Baitulmaqdis, mencederakan lebih 12,600 orang, serta menahan sekitar 23,000 penduduk sejak Oktober 2023.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam satu ketetapan bersejarah mengumumkan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram dan menuntut pemindahan keluar segera kesemua penempatan haram di Tebing Barat serta timur Baitulmaqdis.





