
KOTA KINABALU – Pameran seni bertemakan Algoritma Lokal berjaya membuka ruang pemahaman baharu terhadap hubungan antara budaya, ilmu dan teknologi dalam masyarakat, sekali gus menonjolkan peranan seni sebagai medium penting dalam kehidupan manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institute for Development Studies Sabah (IDS), Datuk Ts Dr Ramzah Dambul berkata, tema yang diketengahkan mengajak masyarakat melihat algoritma bukan sekadar dalam konteks teknologi moden, tetapi sebagai sistem pengetahuan yang telah lama wujud dalam adat, bahasa dan amalan harian masyarakat.
“Seni dilihat sebagai medium penting untuk mendokumentasi serta menyampaikan warisan pengetahuan kepada generasi masa kini.
“Pembangunan ekosistem seni yang mampan memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk institusi, komuniti dan masyarakat umum,” katanya semasa merasmikan Pameran Seni Karya Akhir Pelajar Tahun Tiga, di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.
Menurut Ramzah, seni juga berfungsi sebagai ruang refleksi dan terapi diri yang membantu individu memahami emosi serta pengalaman hidup.
“Seni memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai semula makna kehidupan dan membina kesejahteraan diri secara menyeluruh.
“Peranan institusi pendidikan seperti universiti turut ditekankan dalam memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap seni, bukan sahaja melalui penghasilan graduan dan penyelidikan, tetapi juga sebagai medium komunikasi yang menghubungkan ilmu dengan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, pameran tersebut juga dilihat mampu menjadi ruang dialog yang menghubungkan budaya, teknologi dan kemanusiaan, selain membantu masyarakat memahami perubahan sosial serta realiti kehidupan semasa melalui perspektif seni.

“Majlis ini menyaksikan penglibatan aktif para pengkarya, kurator serta penganjur dalam menjayakan platform yang mengangkat nilai budaya tempatan melalui pendekatan kontemporari.
“Saya berharap agar pameran Algoritma Lokal terus menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni di Sabah serta membuka lebih banyak ruang kolaborasi antara pengkarya, institusi dan masyarakat pada masa akan datang,” kongsinya.
Pameran percuma tersebut berlangsung pada 15 hingga 19 Jun depan bertempat di ASTiF, UMS.






