Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui beberapa kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, termasuk perjanjian hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka dimeterai pada 19 Jun ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga negara di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dalam sektor tenaga, termasuk kerjasama yang melibatkan pembekalan gas asli cecair (LNG) serta pembangunan tenaga bersih di rantau Asia Pasifik.

“Ini juga termasuk kerjasama melalui Asia Zero Emission Community (AZEC), POWERR Asia, kerjasama tenaga dengan Australia, serta kerjasama hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka akan ditandatangani pada 19 Jun, 2026,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Ekonomi hari ini.

Menurut beliau, perkembangan positif turut dicatatkan menerusi perjanjian pembekalan LNG jangka panjang antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat utiliti Jepun, Jera Co Inc, yang dijangka memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara.

Akmal Nasrullah berkata, meskipun krisis bekalan global memberi tekanan kepada ekonomi dunia, keadaan itu turut membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau menjelaskan bahawa kedudukan ekonomi yang stabil, sumber tenaga yang strategik serta pendekatan dasar yang berpandukan data membolehkan Malaysia mengurus risiko global dengan lebih berkesan.

Dalam perkembangan pasaran tenaga, harga purata LNG bagi tempoh 2 hingga 6 Jun lalu meningkat 4.6 peratus kepada AS$18.87 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu), berbanding AS$18.04 bagi setiap MMBtu pada tempoh sebelumnya.

“Pergerakan harga itu, katanya masih dalam julat terkawal, dan menunjukkan pasaran LNG global kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik.

“Pada masa sama, harga arang batu global merekodkan kenaikan sebanyak 8.2 peratus kepada AS$142.62 satu tan metrik bagi tempoh 1 hingga 3 Jun 2026.

“Peningkatan harga arang batu global adalah disebabkan persaingan dan lonjakan permintaan akibat peralihan penggunaan daripada gas kepada arang batu oleh penyedia utiliti antarabangsa bagi membendung kos penjanaan elektrik serta harga premium arang batu yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent menunjukkan penurunan kecil apabila purata harga bagi tempoh 1 hingga 5 Jun 2026 susut kepada AS$99.29 setong berbanding AS$100.16 setong pada minggu sebelumnya.

Menurut beliau, perkembangan itu didorong oleh jangkaan peningkatan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), selain usaha berterusan kerajaan dalam mempelbagaikan sumber bekalan tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu.

Related Posts

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diberi keutamaan kerana tindakan pencegahan dan persediaan rapi mampu mengurangkan impak cuaca ekstrem yang semakin sukar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pelaksanaan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) tidak membawa kepada pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap (PR) mahupun hak untuk menetap secara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu