
TAWAU – Kegiatan menjual Hidupan Liar Dilindungi secara haram kepada pelancong akhirnya terbongkar apabila seorang warga emas berjaya diberkas dalam satu Operasi Bersepadu di sebuah rumah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna, pada Khamis.
Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki warga tempatan berumur 86 tahun itu ditahan JHL Sabah bersama Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) serta Cawangan Risik Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
“Semasa serbuan, pasukan penguatkuasa menemui dan merampas sebuah peti sejuk yang disyaki mengandungi pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi termasuk daging rusa, kijang dan landak.

“Turut dirampas seekor tenggiling dan seekor monyet yang masih hidup,” menurut kenyataan JHL Sabah, pada Khamis.
Menurut JHL Sabah, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi secara haram kepada pelancong di daerah Semporna.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hidupan liar dan hasil hidupan liar tanpa dokumen atau permit yang sah.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan dipenjarakan antara satu hingga lima tahun,” tambah JHL Sabah.
Tegas JHL Sabah, pemilikan, perdagangan dan penyimpanan Hidupan Liar Dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar secara haram juga disaran untuk menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan.





