
MIRI – Usaha membaik pulih kerosakan paip utama milik Sarawak Water di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu kini giat dilaksanakan secara berterusan melibatkan sistem kerja bergilir bagi memastikan gangguan bekalan air dapat diatasi segera.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, pasukan teknikal dan pihak kontraktor bertungkus-lumus melaksanakan operasi tersebut sejak pagi semalam tanpa henti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, pendekatan proaktif itu diambil bagi mempercepatkan penyelesaian dan meminimumkan tempoh gangguan kepada pengguna di kawasan yang terjejas.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pengurusan Sarawak Water, jurutera, kakitangan teknikal serta petugas lapangan atas komitmen dan dedikasi luar biasa menangani situasi ini demi kepentingan masyarakat.
“Kita berharap keadaan cuaca terus mengizinkan bagi membantu mempercepatkan proses pembaikan supaya bekalan air pulih sepenuhnya dalam tempoh yang disasarkan,” katanya selepas mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan operasi di tapak projek, pada Khamis.
Susulan gangguan tersebut, Choon Man menasihatkan penduduk agar menggunakan air secara berhemah dan terus mendapatkan keperluan asas itu melalui pusat-pusat pengagihan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif telus Sarawak Water dalam menyalurkan maklumat dan kemas kini berkala menerusi pelbagai platform komunikasi termasuk sesi siaran langsung dari tapak kerja.
Tambah beliau, orang ramai juga digalakkan memuat turun dan memanfaatkan aplikasi Sarawak Water bagi memudahkan mereka mendapatkan notifikasi terkini berhubung status gangguan, mengurus akaun, membuat bayaran bil serta menyalurkan aduan.
Katanya, kerjasama erat antara Sarawak Water, pihak berkuasa, dengan pemahaman masyarakat setempat diyakini menjadi kunci utama agar proses pemulihan berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian penduduk secara berpanjangan.







