
KUCHING – Penolakan total terhadap sebarang bentuk sentimen politik perkauman merupakan kunci utama mengapa Sarawak terus ke hadapan menikmati keharmonian kaum dan kestabilan politik yang teguh.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menegaskan, taktik memanipulasi emosi rakyat menggunakan isu perkauman terbukti tidak akan membawa kepada kejayaan, sebaliknya hanya menghancurkan kemakmuran sesebuah wilayah.
Menurut beliau, sekiranya sentimen sedemikian dimainkan di negeri ini, rakyat sama sekali tidak akan dapat hidup dalam keadaan harmoni, apatah lagi untuk mencapai kelancaran tadbir urus kerajaan.
“Isu perkauman ini sangat mudah untuk mencetuskan emosi seseorang. Tetapi apabila emosi itu dimainkan, kejayaan pasti tidak akan tercapai. Walaupun emosi itu bersifat sementara, kesan kemusnahannya kepada sesebuah negeri amat besar.
“Sebab itulah di Sarawak, kita sentiasa menjauhkan diri daripada sentimen perkauman. Kita percaya jika ia dimainkan, kita tidak akan dapat hidup secara harmoni dan mencapai kestabilan politik seperti yang kita nikmati hari ini berbanding rakan-rakan di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak bagi menyempurnakan majlis perasmian Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) 2.0 Tahun 2026 bertempat di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang pada Khamis.
Tambah Dr Annuar, iklim politik yang harmoni itu bukan sahaja menarik pelabur asing, malah telah melonjakkan pendapatan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak, membolehkan kerajaan memulangkan semula kekayaan tersebut kepada rakyat menerusi pelaburan modal insan seperti pendidikan percuma.
Dalam pada itu, aspirasi bagi mempertahankan keharmonian dan kelangsungan sosial itu turut dikongsi oleh Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS), Ir Ts Syed Hossin Wan Hamit.
Menerusi ucapan alu-aluannya, beliau menegaskan pembentukan struktur sosial masyarakat Melayu Sarawak yang bersatu padu, berbudaya tinggi serta bebas daripada kepompong kemiskinan amat kritikal bagi terus menyokong kestabilan negeri.
“Harapan kami (IGMS) adalah untuk memastikan kekayaan bumi Sarawak yang melimpah-ruah ini dapat dikongsi secara adil, inklusif dan saksama bersama masyarakat Melayu agar menjadi sebuah realiti.
“Masyarakat yang makmur dan stabil secara sosial inilah yang akhirnya akan terus mengekalkan mandat serta kestabilan politik negeri kita secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Penganjuran KGMS 2.0 yang membawa tema “Harapan Dan Realiti Sarawak Maju 2030” itu mengumpulkan kira-kira 300 peserta dan mengupas naratif kemajuan dari empat teras utama merangkumi elemen politik, ekonomi, pendidikan dan sosial demi memacu keharmonian masa depan negeri.






