
LIMBANG – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan antara lima individu yang ditahan polis dalam serbuan ke atas kegiatan perjudian holo di Kampung Batu Danau pada awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Dadu yang dijalankan sekitar jam 12.30 tengah malam itu, masing-masing berusia antara 17 hingga 51 tahun.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut.
“Selain peralatan (judi holo), kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8,814 di lokasi kejadian.
“Kesemua suspek telah direman semalaman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses dokumentasi selesai bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, Parum mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian atau aktiviti menyalahi undang-undang yang boleh mengundang tindakan tegas pihak berkuasa.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang menerusi talian 085-211466 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.








