
KANGAR – Projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis yang sebelum ini berdepan pelbagai kelewatan kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencapai tahap kemajuan 87 peratus, sekali gus mendahului jadual asal ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pencapaian itu membuktikan usaha pemulihan projek berkenaan berada di landasan tepat selepas diambil alih oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) awal tahun ini.
Katanya, setakat ini kemajuan projek tersebut berada dua peratus lebih awal berbanding jadual sebenar yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Setakat hari ini, peratusan penyiapan projek adalah 87 peratus. Ini adalah dua peratus di hadapan jadual kerana sasaran pada ketika ini ialah 85 peratus.
“Apabila MRCB mengambil alih projek ini, tahap kemajuannya sekitar 70 peratus dan kita dapat melihat perkembangan yang amat baik dalam tempoh beberapa bulan,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak projek SSM Perlis di sini hari ini.

Menurut beliau, projek yang diluluskan sejak tahun 2011 itu sebelum ini mengalami tiga kali kegagalan pelaksanaan melibatkan dua kontraktor berbeza sehingga menyebabkan pembinaannya tertangguh.
Bagaimanapun katanya, pendekatan pemantauan rapi dan penyelesaian masalah secara berterusan yang dilaksanakan KPM bersama kontraktor berjaya mempercepatkan semula pembinaan projek berkenaan.
“Kita mengambil pendekatan micromanage dan menyelesaikan setiap isu yang timbul satu demi satu. Hasilnya dapat dilihat melalui perkembangan pembinaan yang amat memberangsangkan ketika ini.
“Kami yakin dengan komitmen yang ditunjukkan pihak kontraktor dan menjangkakan kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan menjelang penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Fasa 1 projek itu merangkumi pembinaan blok pentadbiran, bilik khas, 12 bilik darjah, dewan tertutup, dewan serbaguna, gelanggang terbuka, dua blok asrama serta pelbagai kemudahan sukan.
Tambahnya, sebaik sahaja pembinaan selesai dan semua keperluan termasuk Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diperoleh, sekolah berkenaan dijangka mula beroperasi tahun depan dengan kapasiti awal seramai 200 pelajar.





