
KOTA KINABALU – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan 12 sindiket call center yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penipuan dan jenayah komersial menerusi operasi khas yang dijalankan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan 341 individu serta rampasan pelbagai aset dan peralatan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.10 juta.
“Kejayaan itu hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh Bahagian Risikan Operasi JSJK Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD).
“Sebanyak 12 operasi dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Menurut Jauteh, siasatan mendapati sindiket yang ditumpaskan terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud, pelaburan saham palsu, love scam, pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis dan perjudian dalam talian.
“Turut dikesan ialah aktiviti menerima dan memindahkan wang hasil penipuan dalam talian serta kegiatan penipuan dan perjudian rentas sempadan.
“Kebanyakan sindiket menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Kakao Talk, Line dan Band untuk memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal sindiket.
Katanya, mangsa yang disasarkan oleh sindiket bukan sahaja rakyat Malaysia, malah melibatkan warga asing dari Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.
“Daripada 341 tangkapan, seramai 305 adalah lelaki manakala 36 lagi wanita berusia antara 17 hingga 60 tahun.
“Siasatan mendapati suspek memainkan pelbagai peranan termasuk sebagai penyelia operasi, khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan dan penghantar wang,” ujarnya.

Dalam operasi tersebut, polis merampas 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan desktop, 20 komputer riba serta 18 modem dan peranti internet.
“Turut dirampas wang tunai RM210,265, dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan, peralatan komunikasi, dokumen transaksi serta uniform dan aksesori yang digunakan untuk tujuan penyamaran.
Katanya, jumlah keseluruhan barang kes yang dirampas adalah sebanyak 1,542 item dengan anggaran nilai rampasan RM1,107,700.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya
Tambah Jauteh, pihaknya akan terus memperhebat operasi risikan dan penguatkuasaan bagi memastikan Sabah tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap pelbagai bentuk tawaran dan panggilan yang mencurigakan.







