PUTRAJAYA – Sikap Bersatu dalam beberapa episod politik sebelum ini menunjukkan parti berkenaan lebih mengutamakan kepentingan kelompok berbanding agenda penyatuan orang Melayu dan umat Islam yang menjadi matlamat utama Pas.
Atas dasar itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan, Pas mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu susulan mengutamakan kelompok tertentu berbanding penyatuan ummah.
Menurutnya, hala tuju penyatuan ummah yang diperjuangkan Pas tidak lagi dapat dicapai menerusi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) susulan pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam gabungan berkenaan.
“Seperti yang diketahui umum, Bersatu tidak menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam PN. Sedangkan bagi Pas, menerima kemasukan parti lain ke dalam PN dapat memenuhi jalan untuk penyatuan ummah. Jalan inilah yang dihalang oleh Bersatu.
“Kepentingan kelompok tertentu atau kepentingan ummah. Itulah yang menjadi asas keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Jika Pas terus bersama Bersatu, ia adalah kepentingan kelompok tertentu, bukan kepentingan ummah,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Terdahulu, Pas pada Isnin secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang telah mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata, parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas atas prinsip penyatuan ummah.
Dalam pada itu, Afnan berkata, Pas telah melalui pelbagai perbincangan dan mesyuarat sebelum membuat keputusan tersebut malah mendakwa parti itu tidak mempunyai pilihan lain apabila usaha ke arah penyatuan terus berdepan halangan.
“Pas berfikir panjang, bemesyuarat banyak kali. Jika jalan untuk penyatuan ini dihalang, Pas tiada pilihan lain. Pilihan yang ada ialah menghentikan kerjasama dengan pihak yang menghalang jalan penyatuan,” ujarnya.
Mengimbau pengalaman lalu, Afnan berkata, Pas pernah mengambil pendekatan sama ketika memutuskan hubungan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat selepas mendakwa parti itu menghalang pelaksanaan syariat Islam di Kelantan dan Terengganu.
“Agenda penyatuan ummah sebelum ini turut diterjemahkan menerusi kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), sebelum diteruskan melalui PN yang menurutnya berjaya menarik sokongan besar pengundi Melayu Islam pada pilihan raya umum lalu.
“Natijahnya, undi orang Melayu Islam banyak beralih kepada PN di dalam PRU yang lalu. PN dilihat dan dipercayai membawa agenda penyatuan ummah. Ramai ahli parti lain beri undi kepada PN. Pengundi atas pagar juga beri undi kepada PN,” katanya.
Afnan berkata, walaupun keputusan meninggalkan Bersatu dilihat lebih sukar dan berisiko dari sudut politik, Pas tetap memilih laluan tersebut kerana percaya ia lebih selari dengan matlamat penyatuan ummah berbanding mengekalkan status quo semata-mata untuk kepentingan pilihan raya.
“Benar, jalan yang Pas pilih ini lebih mencabar. Mengekalkan jalan sedia ada dengan Bersatu, itu lebih mudah. Tak perlu banyak kerja. Kerusi dah ada. Platform dah ada. Jenama dah ada. Bisnes seperti biasa untuk PRU seterusnya.
Tapi, ianya menghalang agenda utama, penyatuan ummah,” katanya.
Beliau menegaskan, Pas akan terus menilai kerjasama politik berdasarkan manfaat kepada Islam dan orang Melayu, sambil menegaskan perjuangan parti itu tidak berasaskan pembahagian kerusi atau jawatan semata-mata.
“Pas berpolitik melihat kepada untung rugi Islam dan Melayu. Jika untung Islam, manfaat pada Melayu (sebagai kaum majoriti), maka Pas akan pergi ke situ, walaupun jalan itu mungkin lebih jauh penuh berduri,” katanya.





