
KUCHING – Seramai 35 pengamal media dari seluruh Sarawak menyertai program latihan ‘AI Masterclass: Strategic Usage, Productivity & Efficiency’ bagi memperkasa kemahiran literasi Kecerdasan Buatan (AI) selaras dengan perubahan landskap bilik berita global.
Program ini merupakan inisiatif kolaborasi antara Business Events Sarawak (BESarawak), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak.
Ia dirangka khusus bagi melengkapkan wartawan dengan pengetahuan dan alatan untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab dan efektif bagi mengukuhkan kualiti serta ketepatan kewartawanan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo menegaskan walaupun AI merupakan alat memudahkan kerja, kewartawanan yang baik masih bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan manusia, pemikiran kritis, ketepatan dan kepercayaan awam yang sama sekali tidak boleh digantikan oleh teknologi.
Beliau turut menyifatkan pengamal media bukan sekadar pelapor, tetapi pencerita yang membantu masyarakat melihat gambaran lebih besar serta memahami impak acara perniagaan terhadap komuniti dan ekonomi negeri.
“Pembelajaran berterusan dan perkongsian pengetahuan adalah penting dalam membina ekosistem media yang lebih kukuh yang menyokong pertumbuhan industri acara perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden KDJA, Ronnie Teo menyeru kumpulan wartawan supaya menerima AI sebagai alat sokongan yang tidak menjejaskan penilaian profesional.
Menurutnya, literasi AI akan membantu media bergerak melangkaui budaya ‘churnalism’ (kewartawanan kitar semula), sekali gus memanfaatkan teknologi tersebut untuk melakukan kajian yang lebih mendalam demi kepentingan awam.
Turut senada, Presiden CJA Cawangan Sarawak, Nancy Nais menyifatkan program tersebut sebagai satu bentuk pelaburan penting untuk masa depan komuniti media tempatan.
Jelasnya, wartawan memerlukan keyakinan dan kemahiran yang tepat untuk menggunakan AI tanpa mengetepikan prinsip kredibiliti dan ketepatan berita.
Secara keseluruhan, inisiatif literasi digital ini amat sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi destinasi dipacu pengetahuan yang menyokong penuh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).






