
KOTA KINABALU – Penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu dinasihati supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang berlaku di Mindanao, Selatan Filipina, pagi Isnin.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah-daerah berkenaan telah diaktifkan bagi menangani situasi tersebut.
Katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri sedang memantau keadaan itu dengan rapi.
“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, ” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berharap agar semua penduduk serta pelajar sekolah tidak panik.
“Mana-mana penjaga yang mengambil anak-anak mereka dibenarkan keluar bersama penjaga.
“Bagi yang belum mengambil anak mereka di sekolah, mohon pihak sekolah memastikan keselamatan murid-murid disamping mematuhi arahan pihak sekolah serta pihak PKOB Daerah, ” ujarnya.






