
KOTA KINABALU – Pasukan Bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lahad Datu, BBP Tawau, BBP Kunak dan BBP Semporna menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi-lokasi berisiko di sekitar kawasan jagaan masing-masing.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pemantauan itu susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi.
Ia juga berikutan nasihat tsunami yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa ombak tsunami dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Hasil pemantauan yang dijalankan setakat jam laporan ini (10 pagi) mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat, ” menurut kenyataan JBPM Sabah, pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, pasukan Bomba akan melaksanakan pemantauan berterusan serta berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Justeru, maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






