KUALA LUMPUR – DAP menolak dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa parti tersebut telah memberi tekanan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan membubarkan DUN Negeri Sembilan dicapai secara konsensus oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) negeri.
“Ini mengarut sama sekali untuk mengatakan bahawa ini adalah tekanan daripada DAP… Semua orang dalam PH Negeri Sembilan, sama ada PKR, DAP, Amanah, semuanya menyokong pembubaran.
“Jika kita tidak membubarkan, sidang DUN berlangsung sekarang, maka besar kemungkinan ADUN-ADUN itu mungkin menekan kerajaan negeri untuk membubarkannya, termasuk dengan tidak menyokong (usul) belanjawan (negeri).
“Jadi kita tidak mahu situasi di mana kita dipaksa mengadakan pilihan raya kerana kita kalah (undian) di DUN. Sebab itu, keputusan ini satu konsensus antara kepimpinan PH, sama ada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), semuanya menyokong pembubaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Aminuddin pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau pada Jumaat lalu mengumumkan DUN Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan untuk memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP akan mempertahankan 11 kerusi DUN Negeri Sembilan akan datang sebagai timbal balas terhadap sikap Barisan Nasional (BN) Johor yang bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor dalam PRN kali ini.
“DAP akan mempertahankan semua 11 kerusi kami (di PRN Negeri Sembilan). Pendirian kita jelas, UMNO mahu lawan semua (kerusi) di Johor, PH mahu lawan semua (kerusi) di Negeri Sembilan.
“Di Negeri Sembilan, kita tidak boleh bercakap tentang kerjasama. Keseluruhan idea pembubaran (DUN) ini kerana UMNO sudah menarik sokongan mereka.
“Bagaimana kita boleh berkata sekarang, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk mengelakkan sebarang kekalahan. Justeru jalan terbaik adalah memulangkan mandat itu kepada rakyat dalam PRN akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengulas PRN Johor, Anthony memaklumkan partinya bakal meletakkan calon di 17 kerusi merangkumi 10 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas, empat kerusi yang mereka tewas, selain menyasarkan baki tiga lagi kerusi baharu.
“Kami telah memberitahu bahawa kami akan mempertahankan semua kerusi yang kami menang pada pilihan raya lepas. Kami memenangi 10 daripada 14 kerusi yang kami tandingi. Jadi, kami akan bertanding di empat kerusi yang kami tewas itu sekali lagi.
“Kami sedang mempertimbangkan tiga kerusi tambahan. Jadi, secara keseluruhannya kami sedang mempertimbangkan untuk bertanding di 17 kerusi,” katanya.






